Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 50m ago ]

Pentagon rancang hantar 120,000 tentera ke timur tengah untuk bertindak balas terhadap Iran

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Patrick Shanahan membentangkan satu rancangan ketenteraan dikemas kini yang membayangkan penghantaran sehingga 120,000 tentera ke Timur Tengah jika Iran membuat keputusan untuk mempercepat kerja-kerja berkaitan senjata nuklear, atau menyerang tentera AS di rantau itu, lapor agensi berita Sputnik memetik media tempatan.

Menurut akhbar The New York Times, Shanahan membentangkan rancangan itu semasa bertemu para pembantu keselamatan peringkat tinggi Presiden Donald Trump pada Khamis.

Rancangan itu mencerminkan pendirian golongan yang enggan bertolak ansur diketuai Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton.

Saiz pasukan tentera itu dikatakan telah mengejutkan ramai peserta taklimat Shanahan kerana jumlah yang sama terbabit dalam pencerobohan di Iraq pada 2003.

Bagaimanapun, rancangan ketenteraan yang dikemas kini itu tidak membayangkan operasi ketenteraan terhadap Iran yang memerlukan lebih ramai tentera.

Hubungan AS-Iran merosot dengan ketara tahun lepas apabila Trump membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), yang juga dikenali sebagai perjanjian nuklear Iran.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu