Maybank salur RM352,000 bantuan zakat pelajaran kepada pelajar Malaysia di Indonesia [ 43m ago ]

Trump anjur majlis berbuka puasa di Rumah Putih

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
WASHINGTON, 14 Mei (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menganjurkan Iftar di Rumah Putih pada Isnin sempena bulan Ramadan, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Majlis berbuka puasa itu menghimpunkan para duta, termasuk Duta Turki Serdar Kilic, dan anggota kor diplomatik yang mewakili negara-negara dengan populasi Islam yang besar.

"Ramadan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia," kata Trump.

Umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa dari waktu subuh sehingga senja sepanjang bulan ini. Puasa merupakan satu daripada tiang agama dalam Islam, dan umat Islam percaya bahawa dalam tempoh ini, Allah telah menurunkan al-Quran, kitab suci umat Islam, kepada Nabi Muhammad.

"Ramadan adalah masa untuk manusia berganding bahu ke arah mencapai harapan, toleransi dan keamanan," kata Trump.

Dalam ucapannya, presiden itu turut mengimbas insiden serangan yang berlaku baru-baru ini ke atas tempat-tempat ibadat, dengan merujuk serangan ke atas masjid di New Zealand, serangan terhadap penganut agama Kristian di Sri Lanka dan serangan ke atas sinagog atau kuil Yahudi di Pittsburgh dan California.

"Sebagai memperingati mereka yang dirahmati, kita akan berusaha untuk menewaskan kejahatan keganasan dan penganiayaan agama bagi membolehkan orang ramai beribadat tanpa rasa bimbang, bersembahyang tanpa bahaya, dan hidup dengan kepercayaan yang mengalir dari hati sanubari mereka," kata Trump.

"Saya ingin mengucapkan Ramadan Kareem kepada semua penganut agama Islam di seluruh dunia," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu