Lubnan, Arab Saudi jalin kerjasama kekalkan keamanan di negara-negara Arab [ 6m ago ]

Bantuan makanan perlu dihantar ke Korea Utara sebelum bulan September

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
SEOUL, 14 Mei (Bernama) -- Korea Selatan berkata bantuan makanan perlu dihantar ke Korea Utara sebelum bulan September bagi membantu meringankan beban kekurangan makanan di negara miskin itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang pegawai kementerian penyatuan pada Selasa.

Seoul sedang merangka pelan untuk menyediakan bantuan makanan semasa Korea Utara berdepan kekurangan bekalan makanan yang diburukkan lagi oleh sekatan global dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Kerajaan telah melancarkan usaha bagi mengumpul pendapat umum sebelum memutuskan masa, cara dan bentuk bantuan yang akan dihantar ke Korea Utara.

"Laporan Program Makanan Sedunia (WFP) baru-baru ini menunjukkan bahawa sepanjang tempoh Mei hingga September akan datang merupakan permulaan musim menuai, yang merupakan masa bantuan diperlukan," kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.

Beliau merujuk kepada satu laporan baru-baru ini yang disusun bersama oleh WFP dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian yang menganggarkan bahawa pengeluaran tanaman Korea Utara tahun lepas mencapai tahap terendah sejak 2008 dan bahawa kira-kira 10 juta orang di negara itu, yang merupakan 40 peratus daripada penduduknya, memerlukan bantuan makanan dengan segera.

Laporan itu mengunjurkan bahawa situasi makanan di Korea Utara boleh merosot "dari bulan Mei hingga September jika tiada tindakan kemanusiaan yang segera dan sewajarnya diambil."

Korea Selatan berharap bantuan makanan akan membantu mengatasi keadaan di Korea Utara dan menghidupkan proses rundingan dengan Pyongyang yang menemui jalan buntu, meskipun Korea Utara telah bertindak melancarkan peluru berpandu baru-baru ini.

Seoul berkata semua pilihan telah dibentangkan dalam menyediakan bantuan makanan kepada Korea Utara, termasuk menyalurkannya secara terus kepada kerajaan dan menerusi agensi-agensi antarabangsa.

Menteri Penyatuan Kim Yeon Chul merancang untuk bertemu kumpulan sivik dan pemimpin agama pada Selasa sebagai sebahagian usahanya untuk mendengar pendapat umum berhubung rancangan kerajaan untuk menghantar bantuan makanan kepada Korea Utara, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat beliau.

Kali terakhir Korea Selatan menyalurkan bantuan makanan kepada Korea Utara ialah pada 2010 bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung akibat banjir. Seoul menghantar 5,000 tan beras kepada Pyongyang ketika itu.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu