Lubnan, Arab Saudi jalin kerjasama kekalkan keamanan di negara-negara Arab [ 5m ago ]

Masa depan perjanjian nuklear iran bergantung kepada kesediaan dunia respons kepada cabaran Washington - Moscow

Tarikh kemaskini: 14/05/2019
NEW YORK, 14 Mei (Bernama) -- Masa depan Pelan Bertindak Komprehensif Bersama (JCPOA), atau lebih dikenali sebagai perjanjian nuklear Iran, bergantung kepada kesediaan komuniti global untuk bersama-sama memberi maklum balas kepada tindakan merosak Washington, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan Vladimir Ermakov, pengarah Jabatan bagi Pengawalan Senjata Nuklear dan Kawalan Senjata Api Kementerian Luar Rusia.

Amerika Syarikat secara unilateral telah menarik diri daripada JCPOA dan mengenakan semula semua sekatan terhadap Iran, yang sebelum ini ditarik balik di bawah perjanjian itu, setahun lalu.

Sebagai respons, Presiden Iran Mohammad Javad Zarif mengumumkan pada 8 Mei bahawa Tehran akan menghentikan sebahagian komitmennya di bawah perjanjian itu dan memberikan masa 60 hari kepada Eropah bagi memastikan bahawa kepentingan Iran dipelihara di bawah perjanjian tersebut.

"Kami percaya bahawa masa depan perjanjian nuklear itu serta rejim pengawalan senjata nuklear global, sebahagian besarnya adalah bergantung kepada kesediaan komuniti global melihat maklum balas bersepadu terhadap cabaran serius yang datangnya dari Amerika Syarikat, berbanding melakukan percubaan yang tidak sewajarnya dalam usaha menyenangkan hati Washington," kata Ermakov.

Rusia sudah pasti akan mengalu-alukan inisiatif UK-Jerman-Perancis untuk mewujudkan Kenderaan Tujuan Khas, satu mekanisme pelindung yang akan membolehkan rakan kongsi Iran untuk terus mengadakan perdagangan yang sah dengan negara itu meskipun ia berdepan sekatan Washington, kata pegawai itu.

Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Isnin berkata beliau menjangka untuk berbincang secara terus-terang mengenai Iran pada Selasa dengan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo.

Lavrov juga berkata beliau berharap untuk mendengar penjelasan bagaimana Washington merancang untuk menyelesaikan krisis yang menyelubungi JCPOA.

Lavrov danPompeo akan mengadakan rundingan di bandar peranginan Rusia iaitu Sochi kemudian. Menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, Presiden Rusia Vladimir Putin dijangka menerima kunjungan hormat mereka di kediaman beliau di Sochi.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu