ASEAN perlu bersatu dalam satu suara tangani isu Laut China Selatan [ 6m ago ]

Jabatan Pertanian Bantu Kurangkan Tanah Terbiar

Tarikh kemaskini: 15/05/2019
Antara peserta Projek Pembangunan Tanah Terbiar di Kampung Pauh Jabit 3, Bachok, Kelantan. Projek ini di bawah naungan Jabatan Pertanian Malaysia -- Gambar Ihsan Jabatan Pertanian Malaysia.
Oleh Kurniawati Kamarudin

Membangunkan tanah terbiar dengan tanaman pertanian menjadi salah satu inisiatif utama Jabatan Pertanian Malaysia. Usaha ini telah digerakkan secara serius lebih 12 tahun lalu untuk meningkatkan keupayaan sektor pertanian bagi menghasilkan bahan makanan yang mencukupi.

Bahagian ketiga ini mengupas usaha dan cabaran yang dihadapi Jabatan Pertanian Malaysia.



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menggalakkan pemilik tanah terbiar membangunkan tanah mereka atau membenarkan pihak lain mengusahakannya sudah digerakkan sejak lebih sedekad lalu.

Menyedari tanah baharu bagi tujuan pertanian kini adalah terhad, Jabatan Pertanian Malaysia mula memberi perhatian dalam membangunkan tanah terbiar bermula Rancangan Malaysia ke-8 (2001-2005).

Langkah lebih serius digerakkan sejak 2007 sebagai satu inisiatif menangani isu pembaziran sumber dengan matlamat membangunkan tanah terbiar, meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan makanan negara di samping mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import.

Bagaimanapun, setelah lebih 10 tahun dijalankan, sambutan dalam kalangan pemilik tanah masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik, Jabatan Pertanian Malaysia, Nur Dalinna Ibrahim. -- Gambar Ihsan Jabatan Pertanian Malaysia

Daripada 119, 273 hektar jumlah tanah terbiar di Semenanjung Malaysia yang direkodkan pada 2014, tanah yang dibangunkan di bawah Jabatan Pertanian sehingga 2018 hanyalah 7,944.97 hektar dengan jumlah peserta 5,964 orang.

Ini bermakna masih banyak lagi tanah terbiar yang belum diusahakan dan dioptimumkan penggunaannya untuk pertanian.



USAHA BERTERUSAN

Masalah sikap dan kesedaran pemilik yang tidak melihat kepentingan ekonomi untuk memajukan tanah menyebabkan usaha membangunkan tanah terbiar menjadi sukar.
Antara tanah terbiar di Kampung Semeliang, Kedah yang diusahakan di bawah Projek Pembangunan Tanah Terbiar Jabatan Pertanian Malaysia. --Gambar Ihsan Jabatan Pertanian Malaysia.

Terdapat pemilik yang menghadapi kesukaran memajukan tanah mereka berikutan kegagalan mendapatkan persetujuan bersama memandangkan tanah mempunyai banyak penama.

Kebanyakan pemilik asal tanah tersebut telah meninggal dunia dan ia diwarisi anak-anak yang rata-rata kemudiannya berhijrah ke bandar.

Contoh di Negeri Sembilan, status tanah adat di bawah Enakmen Pemegangan Tanah Adat Bab 215 dikatakan menjadi halangan untuk memajukan tanah terbiar .

Bagaimanapun, daripada kajian akademik yang dijalankan, undang-undang Tanah Adat itu tidak pun menghalang untuk perlaksanaan aktiviti pertanian atau penyewaan tanah sebaliknya sikap pemilik tanah itu sendiri yang tidak mahu memajukan tanah yang dimiliki.

Ini antara cabaran yang dihadapi Jabatan Pertanian selain kesukaran untuk mengenal pasti tanah terbiar dan pemiliknya, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik, Jabatan Pertanian Malaysia, Nur Dalinna Ibrahim.

"Kita tidak boleh memaksa pemilik usahakan tanah yang terbiar. Apa yang kita lakukan ialah berbincang dengan pemilik tanah untuk mencari jalan agar tanah itu dapat dimajukan dan dioptimumkan agar dapat mengeluarkan hasil," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pejabat Pertanian Daerah berperanan sebagai penggerak untuk mengenalpasti tanah terbiar serta pemilik tanah tersebut di daerah mereka .

Bukan itu sahaja, mereka juga menjadi pemudahcara untuk memadankan pemilik tanah yang tidak berkemampuan untuk mengusahakannya dengan pengusaha yang ingin memajukan tanah terbiar mereka bagi tujuan petanian," katanya

Program penemusuaan ini menjadi landasan terbaik untuk menemukan pemilik tanah dan pengusaha agar kedua-dua pihak dapat berbincang bagi memajukan tanah di mana pengusaha boleh menyewa atau memajak tanah milik.

Bagaimanapun tidak semua padanan yang dilakukan berjaya kerana faktor kelemahan tanah itu sendiri dan memerlukan kos yang tinggi untuk dibangunkan, katanya.

“Kebiasaannya pengusaha akan menilai terlebih dahulu kawasan yang ditawarkan untuk disewa atau dipajak. Jika keadaan tanah tersebut mempunyai jaringan yang baik serta bersesuaian maka kerja pembangunan boleh dilaksanakan.

Namun, sekiranya terdapat halangan seperti tanah sentiasa berair, jauh di pendalaman dan tiada kemudahan infrastruktur, agak sukar untuk penyewa membangunkannya. Jadi tanah itu akan kekal terbiar sehingga ada pengusaha yang benar-benar komited untuk memajukannya,” katanya.



PEMBERIAN INSENTIF

Nur Dalinna menjelaskan Jabatan Pertanian memberikan insentif permulaan kepada pemilik tanah atau pengusaha yang ingin memajukan tanah terbiar dengan kadar bantuan maksimum sehektar bernilai RM20,000.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan sebenar di tapak dan bantuan ini juga tertakluk kepada keluasan maksimum 5 hektar per individu, katanya.

Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk pembangunan infrastruktur seperti pembersihan kawasan dan penyediaan sistem pengairan atau pemberian input pertanian seperti anak benih, baja ataupun bantuan teknologi dengan nilai tersebut.

"Jabatan Pertanian memberikan bantuan berbentuk insentif pada kadar yang ditetapkan bergantung kepada keadaan lokasi dan keperluan. Penilaian tapak akan dilakukan terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian lokasi dan tanaman yang ingin diusahakan," katanya sambil menambah sebanyak RM2 juta setahun diperuntukkan bagi melaksanakan program ini.

Pengusaha tanah terbiar paling ramai di Pahang seramai 1,130, Terengganu (1,051), Kelantan (811), Kedah (772), Pulau Pinang (617) ,Perak ( 423), Negeri Sembilan(384), Johor (357), Melaka (190), Perlis (134), Selangor (63) dan Wilayah Persekutuan Labuan (31).

Beliau berkata Jabatan Pertanian mensasarkan 100 hektar tanah terbiar dapat dibangunkan setiap tahun dengan bilangan pengusaha seramai 50 orang.

Setiap pengusaha yang mengikuti Program Pembangunan Tanah Terbiar sentiasa dipantau terutama dengan memberi khidmat nasihat di samping memastikan tanah yang dibangunkan kekal produktif.



KURANG MODAL PUNCA RAMAI PENGUSAHA GAGAL

Beberapa jenis tanaman akan dicadangkan kepada pengusaha setelah melihat kesesuaian tanah untuk mereka pilih mengikut kecenderungan tanaman yang ingin diusahakan serta keupayaan mereka.

Walaupun diberikan bantuan insentif, namun ada juga peserta yang gagal meneruskan projek tanaman yang diusahakan, katanya.

Antara punca kegagalan disebabkan kekurangan modal pusingan terutama pada peringkat awal penanaman di samping kekangan lain.

"Pengusaha tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Pertanian. Sebaliknya mereka sendiri perlu menyediakan modal tambahan.

“Pemberian insentif ini merupakan usaha kerajaan membantu di peringkat awal pembangunan tanah selebihnya bergantung kepada komitmen masing-masing," katanya.

Jelas Nur Dalinna, tanah terbiar ini kebiasaanya mempunyai masalah yang tersendiri menyebabkan ia terbiar seperti faktor jauh di pedalaman dan tiada jaringan kemudahan.

Disebabkan halangan ini, kos membersihkan kawasan juga agak tinggi. Maka, insentif yang diberi jabatan kadangkala hanya mencukupi untuk tujuan pembangunan infrastruktur sahaja.

Komitmen pengusaha amat diperlukan bagi pembelian input pertanian dengan menggunakan modal mereka sendiri. Selain itu, mereka juga perlu menyediakan pekerja untuk menjalankan aktiviti penanaman dan sebagainya yang juga memerlukan modal untuk bayaran gaji pekerja, katanya.



JENIS TANAMAN

Jenis tanaman yang digalakkan untuk diusahakan di tanah terbiar iaitu tanaman kekal dan tanaman singkat masa.

Tanaman singkat masa seperti sayur-sayuran, jagung atau tanaman selingan seperti pisang dapat membantu pengusaha mendapatkan hasil lebih awal sementara menanti tanaman kekal mengeluarkan hasil yang biasanya akan memakan masa tiga hingga empat tahun.

Menurut Nur Dalinna antara tanaman kekal yang selalu menjadi pilihan adalah pokok durian, kelapa, mangga dan buah-buahan lain.

Mereka yang berminat untuk menjadi peserta Projek Pembangunan Tanah Terbiar boleh datang ke pejabat Pejabat Pertanian Daerah bagi mengemukakan permohonan projek.

Bagaimanapun, kelulusan adalah bergantung kepada kedapatan peruntukan setiap tahun.

“Antara kriteria peserta bagi program ini mestilah mempunyai tanah untuk dibangunkan samada tanah milik individu yang boleh dibuktikan dengan geran atau tanah sewa atau pajak yang mempunyai perjanjian rasmi.

"Mereka juga harus mempunyai pelan rancangan untuk melaksanakan projek serta modal. Sekiranya mereka mempunyai keupayaan tersebut, Jabatan Pertanian akan mempermudahkan urusan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata Jabatan Pertanian akan terus bergerak lebih aktif tahun ini termasuk memberi penerangan kepada pemilik tanah terbiar agar jumlah tanah terbiar dapat dikurangkan dan membawa pulangan ekonomi bukan sahaja kepada pemilik tanah dan pengusaha tetapi juga kepada negara.

Selain itu, laman sesawang Jabatan Pertanian (www.doa.gov.my) juga sentiasa memaklumkan tanah-tanah pertanian terbiar yang ditawarkan pemilik untuk disewa kepada bakal penyewa.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu