Nafas business plan submitted to MOA - Salahuddin [ 6m ago ]

Malaysia perkasa peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana - Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 15/05/2019
Daripada Nur Ashikin Abdul Aziz

GENEVA, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia akan terus berusaha untuk memperkasakan peranan wanita dalam pengurusan risiko bencana untuk memastikan 100 peratus penduduk dilindungi dan mendapat manfaat daripada usaha pengurangan risiko dan pembentukan daya tahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pendekatan Malaysia kepada pengurangan risiko bencana (DRR) adalah berpandukan kepercayaan bahawa peranan wanita adalah penting dalam menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan dan berada dalam kesiapsiagaan yang lebih baik bagi menghadapi perubahan landskap bencana yang berterusan.

"Wanita merupakan kumpulan di lapangan, dan wanita yang mampu menggerakkan keluarga dan komuniti mereka jika diberi peranan, pengetahuan, dan pemerkasaan yang sewajarnya.

"Wanita tidak sepatutnya dilihat sebagai mangsa semata-mata, kerana seperti lelaki mereka juga memiliki kemahiran dan kemampuan untuk mempersiapkan, memberi respon dan pulih dari bencana, serta mengurus risiko dan membina ketahanan," katanya ketika berucap pada sesi khas Kepimpinan Wanita dalam DRR pada Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri bertanggungjawab bagi Pengurusan Bencana berkata, di Malaysia, peranan dan kepimpinan wanita dalam DRR telah berkembang pesat dan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang memegang jawatan pembuat keputusan di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA ) adalah wanita.

Beliau berkata Malaysia percaya bahawa wanita adalah tenaga kekuatan dalam pembinaan daya tahan dan DRR dan oleh itu, kerajaan akan memanfaatkannya untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penglibatan wanita dalam perancangan pengurusan bencana dan program DRR.

"Justeru, kerajaan Malaysia kini bekerjasama rapat dengan NGO tempatan kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk wanita terlibat secara aktif dalam membina daya tahan dan DRR.

"Satu hasil daripada kesalinghubungan ini adalah perubahan reka bentuk tempat perlindungan sementara untuk bencana dan penyediaan makanan untuk ibu hamil dan wanita yang menyusukan anak serta mereka yang memerlukan perhatian khusus," katanya.

Dr Wan Azizah berkata untuk memperkasa dan menggalakkan wanita untuk terlibat secara aktif dalam DRR, akses mereka kepada pendidikan dan kemudahan kesihatan perlu dijamin.

Dr Wan Azizah berkata dalam konteks ini, kerajaan Malaysia melalui pelbagai mekanisme memastikan bahawa dasar diskriminasi yang menghalang akses wanita kepada pendidikan dan kesihatan dihapuskan sepenuhnya.

"Pada 2018, pencapaian pendidikan wanita kita lebih tinggi daripada lelaki. Tahun lepas, kadar enrolmen wanita dalam pendidikan tinggi adalah 48 peratus berbanding 38 peratus bagi lelaki. Sekiranya kita mengambil kira faktor jangka hayat untuk menunjukkan akses kepada kemudahan kesihatan, wanita pada umumnya hidup lebih lama daripada lelaki di Malaysia, " kata beliau.

Dr Wan Azizah berkata purata jangka hayat untuk wanita di Malaysia bagi tahun 2018 ialah 77.2 tahun, iaitu 10 tahun lebih panjang berbanding lelaki.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu