EKONOMI

PULAU PINANG TARIK PELABURAN RM129.1 BILION PADA 2018 - MIDA

16/05/2019 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang menarik pelaburan berjumlah RM129.1 bilion dalam sektor pembuatan pada 2018 dan secara konsisten berada pada kedudukan sebagai antara destinasi pelaburan utama di negara ini sejak lima dekad yang lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abdul Rahman berkata agensi itu telah meluluskan 4,084 projek pembuatan yang mewujudkan lebih 516,600 pekerjaan, terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik, produk logam asas, peralatan saintifik dan pengukuran, serta jentera dan peralatan pengangkutan.

"Sejak ketibaan lapan syarikat perintis dari luar negara, yang juga dikenali sebagai 'Lapan Samurai' di Pulau Pinang pada tahun 1970-an, negara ini terus menjadi lokasi operasi syarikat-syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat seperti WD Media (Malaysia), Teknologi Intel, Jabil Circuits, B Braun Medical Industries, Osram Opto Semiconductor, HP Malaysia, Vitrox Technologies, Inari Group, Southern Steel dan DSEM System Technology menjanjikan banyak peluang dan kerjasama perniagaan di negeri tersebut. 

Sementara itu, Arham juga berkata MIDA sedang menjalankan program yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memudahkan pelaksanaan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Ini termasuk program penilaian kesediaan, program jaminan pinjaman bagi syarikat-syarikat untuk melabur dalam automasi dan pemodenan dan program pembangunan vendor Industry4WRD.

"Ketika ini MIDA sedang mempermudahkan pelaburan berkaitan IR 4.0 melalui skim seperti insentif cukai, dana strategik pelaburan domestik, elaun modal automasi dan dana berimpak tinggi.

"Pelbagai keterlibatan dengan komuniti perniagaan kini sedang dijalankan untuk mengetengahkan peluang-peluang yang disediakan bagi syarikat," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan