Sumatran rhino's health worrying [ 15m ago ]

Malaysia akan terus aktif dalam semua platform pengurangan risiko bencana - TPM

Tarikh kemaskini: 16/05/2019
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

GENEVA, 16 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakhiri lawatan kerja ke Geneva pada Khamis dengan Malaysia terus berazam untuk mengambil bahagian secara aktif dalam semua platfom pengurangan risiko bencana di masa hadapan.

Lawatan tiga hari beliau bermula Selasa adalah yang pertama ke Switzerland selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 12 Mei tahun lepas dengan agenda utama lawatan itu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR).

“Secara keseluruhan, lawatan kerja ini telah mencapai tujuannya. GPDRR 2019 berjaya menjadi satu platform bagi dialog yang efektif. Sesungguhnya perkongsian antarabangsa penting dalam inisiatif pengurangan risiko bencana,” katanya kepada Bernama dan RTM dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerjanya, di sini pada Khamis.

GPDRR adalah acara dwitahunan yang diselaraskan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) dan merupakan forum paling utama di peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian dan semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Dr Wan Azizah berkata dalam kenyataan rasmi disampaikan beliau pada sesi pleno berlangsung Rabu, Malaysia mengulangi iltizam terhadap kerja-kerja UNDRR, Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan.

“Kita juga telah berkongsi inisiatif-inisiatif yang teah dilaksanakan secara menyeluruh untuk mencapai matlamat pengurangan risiko becana dengan mengambil kira faktor-faktor kemanusiaan, sosio-ekonomi dan persekitaran,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata di Sesi Khas, Malaysia telah menekankan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah lebih terkesan kepada ancaman bencana dan mengambil kira faktor ini, Malaysia menganjurkan pemerkasaan dalam penyertaan wanita yag lebih signifikan dalam perancangan dan pengurusan tindak balas bencana melalui pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Dalam lawatan singkat itu, Dr Wan Azizah turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala di luar persidangan itu antaranya dengan Naib Presiden Indonesia Mohamed Jusuf Kalla di mana mereka berbincang mengenai jalinan kerjasama antara kedua-dua negara, antaranya dalam industri minyak sawit, serta pelaburan dan perdagangan.

Dr Wan Azizah turut mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Filippo Grandi di mana perbincangan berkisar tentang peluang kerjasama dalam pelbagai aspek kemanusiaan seperti isu pelarian.

Tambahnya UNHCR juga telah meminta Malaysia untuk membantu menyelesaikan isu pelarian terutamanya pelarian Rohingya.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana Mami Mizutori, Dr Wan Azizah memaklumkan Malaysia sedang dalam proses memuktamadkan Pelan Tindakan DRR Kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa menghadiri majlis iftar dengan diaspora Malaysia selain melawat Yayasan Kebudayaan Islam Geneva.

Dr Wan Azizah akan berlepas pulang ke tanah air menerusi penerbangan komersil petang ini (4.55 petang waktu tempatan, 10.55 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu