SKMM rampas set pengimbas RFID tidak diperakui [ 15m ago ]

Kerajaan Perak benarkan sekatan laluan balak di Kampung Tasik asal Cunex diroboh

Tarikh kemaskini: 17/05/2019
IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri membenarkan tindakan penguatkuasaan merobohkan sekatan atau blokade laluan pembalakan menuju ke Hutan Simpan Air Cepam di Gerik yang dibina oleh penduduk Kampung Tasik Asal Cunex dekat Gerik di atas tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tindakan penguatkuasaan itu dibenarkan setelah meneliti semua aduan serta sudut perundangan dan operasi meroboh dijalankan hari ini dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata penduduk mendakwa mereka membina sekatan itu kerana tiada perbincangan bersama penduduk setempat dan sekatan dibuat di atas tanah adat mereka, bagaimanapun semakan menunjukkan kerajaan masih belum mengiktiraf kawasan tanah adat yang dituntut oleh penduduk.

"Penduduk Kampung Tasik Asal Cunex menyatakan bahawa tuntutan tanah adat mereka mesti dipersetujui bagi membolehkan mereka bersetuju untuk membenarkan kayu-kayu yang telah ditebang dikeluarkan dari kawasan pembalakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 April 2019, Pejabat Daerah dan Tanah Gerik telah mengeluarkan satu surat pemberitahuan pembukaan sekatan laluan pembalakan kepada penduduk kampung tersebut.

Surat itu memaklumkan bahawa sekatan laluan pembalakan ini telah didirikan di atas tanah Kerajaan Negeri Perak dan telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan diatas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Penduduk telah membuat bantahan dan cuba menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak pada 23 April lalu dengan membuat perisai manusia dan isu itu telah disensasikan oleh badan bukan kerajaan tertentu yang mendakwa ia sebagai perbuatan buli pembalak ke atas komuniti Orang Asli.

Susulan kejadian itu laporan polis berasingan telah dibuat oleh wakil penduduk dan wakil syarikat pembalakan dan siasatan dijalankan oleh pihak polis, sekiranya wujud sebarang unsur jenayah atau kekerasan, tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata berhubung dakwaan oleh penduduk sebelum ini yang pihak berkuasa telah mengugut mereka dengan senjata ketika mengiringi syarikat pembalak untuk menghantar bekalan makanan kepada para pekerja di tapak pembalakan pada bulan Mac, siasatan menunjukkan dakwaan tersebut tidak berasas.

Katanya, setelah diteliti dan disiasat menunjukkan pihak berkuasa hanya membawa senjata bagi tujuan keselamatan dan tidak sama sekali berlaku sebarang ugutan terhadap penduduk.

Beliau berkata kerajaan negeri juga ingin menafikan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan itu dijalankan secara ”cuci mangkuk” kerana semua aktiviti pembalakan yang diluluskan dijalankan secara lestari di mana hanya pokok-pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah ’tagging’.

"Kerajaan negeri secara konsisten memastikan urusan pembalakan tidak melebihi Catuan Pembalakan Tahunan iaitu 7,744 hektar setiap tahun, seperti yang dikehendaki oleh Majlis Tanah Negara," katanya.

-- BERNAMA









BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu