TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 9m ago ]

MQA Sokong Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat

Tarikh kemaskini: 17/05/2019
Oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Selain berperanan sebagai pengukur standard dan kriteria jaminan kualiti, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga menyokong dasar pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi antara prinsip utama Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Pembelajaran sepanjang hayat, yang merupakan Teras Keenam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, memerlukan mekanisme yang membuka laluan pembelajaran lebih luas bagi pelajar bukan tradisi seperti pengumpulan dan pemindahan kredit serta pengakreditan pengetahuan dan pembelajaran terkumpul.

Mekanisme itu membolehkan seseorang itu memilih laluan pembelajaran yang paling sesuai dan fleksibel dari segi masa dan tempat untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti diri.

Langkah ini secara langsung membolehkan berkembangnya budaya pembelajaran sepanjang hayat. Setiap individu yang berminat meningkatkan kualiti diri, berpeluang memenuhi cita-cita mereka pada masa yang sesuai sepanjang hayatnya.

Ini adalah antara usaha Kementerian Pendidikan memberi peluang kepada setiap rakyat negara ini untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kualiti diri.



PRINSIP APEL

APEL atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu didefinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

Secara umumnya, proses APEL melibatkan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman yang boleh diperoleh melalui pelbagai kaedah termasuk persekolahan yang formal, pengalaman hidup dan pekerjaan, latihan, pengajian bebas, kerja suka rela, hobi dan seumpamanya.

Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) menerusi Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679) telah memberi komitmen untuk mengiktiraf pembelajaran terdahulu sebaik mungkin.

Pembelajaran yang diperoleh melalui pelbagai jenis pengalaman yang berlaku dalam kehidupan individu, yang tidak pernah dianugerahkan kredit, akan dikenal pasti dan diberi pengiktirafan selayaknya.

Proses APEL yang dinyatakan dalam MQF akan membolehkan individu maju dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, yang seterusnya meluaskan mobiliti pelajar dan penyertaan pelajar dewasa dalam pendidikan tinggi.

Dalam konteks Malaysia, APEL boleh dinikmati oleh seseorang individu bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap pembelajaran bukan rasmi dan pembelajaran rasmi. Dalam erti kata lain, pelajar boleh menggunakan kombinasi antara pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal dalam proses APEL.

APEL disokong oleh prinsip teras berikut:

  • Pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu perlu diiktiraf tanpa mengambi kira bagaimana dan di mana ia diperoleh, asalkan pembelajaran tersebut adalah berkaitan dengan hasil pembelajaran atau kompetensi yang ditetapkan;
  • Penilaian harus berdasarkan bukti, sama rata, tiada prasangka, adil, fleksibel, sah dan boleh dipercayai;
  • Penilaian perlu dijalankan oleh pakar/pengamal bagi isi kandungan subjek atau bidang kemahiran, dasar-dasar dan prosedur-prosedur;
  • Kaedah penilaian perlu mengandungi tahap literasi serta pengalaman para pelajar, justeru itu menyediakan cara-cara untuk pelajar menunjukkan hasil yang diperlukan;
  • Keputusan perlu dipertanggungjawabkan, telus, serta tertakluk kepada rayuan dan ulasan;
  • Maklumat dan perkhidmatan sokongan perlu dipromosikan secara aktif, mudah difahami dan mengenal pasti kepelbagaian para pelajar; dan
  • Mekanisme penjaminan kualiti perlu jelas dan telus bagi memastikan keyakinan dalam keputusan.


SKOP APEL

APEL hanya dibuka kepada rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan pengiktirafan terhadap pengajian terdahulu mereka. Sebagai permulaan, APEL digunakan untuk tujuan kemasukan ke sesuatu program pengajian sahaja, tertakluk kepada ketetapan dan penerimaan institusi yang dimohon.

Terdapat dua jenis iaitu APEL yang ketika ini dilaksanakan iaitu APEL bagi Tujuan Akses [(APEL(A)] dan APEL bagi Tujuan Penganugerahan Kredit [APEL(C)] .

APEL (A) memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi.

Secara umumnya, penilaian APEL(A) melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu.



Sehingga kini penilaian APEL(A) telah dibuka untuk EMPAT tahap kemasukan iaitu:

1.

Kemasukan ke program Sijil (APEL T-3);

2.

Kemasukan ke program Diploma (APEL T-4);

3.

Kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6); dan

4.

Kemasukan ke program Ijazah Sarjana (APEL T-7).



KENAPA APEL



APEL diwujudkan bagi menyediakan laluan alternatif kepada mereka yang memiliki pendidikan formal yang kurang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

APEL menggalakkan seseorang individu untuk meningkatkan pengetahuan secara berterusan yang membawa kepada penganugerahan sijil kelayakan formal.

Ini seterusnya akan memberi peluang yang lebih cerah dalam perkembangan kerjaya individu tersebut.

Maklumat lanjut berkenaan APEL boleh diperolehi di laman sesawang MQA. Permohonan dibuat secara atas talian di http://www2.mqa.gov.my/APEL/.

Sebarang pertanyaan dan permohonan mengenai APEL, sila hubungi APEL Admin di talian 03-86881968, 03-86881950 dan 03-86881949 atau apeladmin@mqa.gov.my.



Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu