Lelaki cuba larikan kanak-kanak perempuan ditahan polis [ 4m ago ]

Korea Utara hantar surat kepada PBB bantah tindakan AS rampas kapal kargo

Tarikh kemaskini: 18/05/2019
SEOUL, 18 Mei (Bernama) -- Utusan khas Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menghantar sepucuk surat kepada Setiausaha PBB Antonio Guterres bagi mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang merampas kapal kargonya kerana disyaki melanggar sekatan antarabangsa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik media rasmi Pyongyang pada Sabtu.

Melalui surat yang dihantar pada Jumaat, Kim Song menyifatkan tindakan itu sebagai "menyalahi undang-undang, keterlaluan dan mencabuli kedaulatan" yang menunjukkan bahawa AS "sememangnya adalah sebuah negara gengster," menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Jabatan Kehakiman AS berkata pada 9 Mei, ia telah merampas kapal kargao Wise Honest seberat 17,061 tan kerana disyaki memindahkan arang batu dan jentera yang melanggar rejim sekatan terhadap Korea Utara, dalam tindakan rampasan langsung yang julung kali dilakukan pihak berkuasa Amerika.

"Baru-baru ini, AS telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan keterlaluan dengan merampas kapal kargo Korea Utara yang dalam perjalanan ke Samoa, serta mengaitkan kapal itu dengan undang-undang domestik Amerika, dan tindakan perampasan ini secara jelas menunjukkan bahawa Amerika Syarikat sememangnya adalah sebuah negara gengsteryang tidak peduli tentang undang-undang antarabangsa," kata wakil tetap PBB Korea Utara itu dalam surat tersebut.

"Selain itu, Amerika Syarikat telah melakukan tindakan yang mencabuli kedaulatan negara yang secara terang-terangan melanggar Piagam PBB menerusi perampasan kapal kargo itu yang menyaksikan kedaulatan Korea Utara dilaksanakan sepenuhnya," kata Kim.

Rampasan itu meningkatkan ketidakpastian mengenai prospek untuk menyambung semula rundingan nuklear yang terhenti antara Washington dan Pyongyang.

Rundingan itu telah menemui jalan buntu sejak sidang kemuncak kedua antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi pada Februari susulan kegagalan merapatkan jurang berkaitan skop pembasmian senjata nuklear oleh Pyongyang dan pelepasan sekatan oleh Washington.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu