Salehuddin 'berhati kering' dapat maklumat daripada komunis [ 1h ago ]

London bakal wujud peta digital pertama untuk paip, kabel bawah tanah

Tarikh kemaskini: 18/05/2019
LONDON, 18 Mei (Bernama) -- Peta digital pertama mengenai ribuan kilometer paip dan kabel bawah tanah yang terdapat di London akan diwujudkan bagi membantu mengurangkan gangguan apabila berlaku kesilapan, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Datuk Bandar London Sadiq Khan pada Jumaat.

Skim itu akan membolehkan pekerja melihat paip dan kabel bawah tanah di telefon bimbit atau komputer riba sebelum mereka memulakan penggalian.

Dianggarkan bahawa ekonomi Britain terpaksa menanggung kos lebih US$1.5 bilion akibat kerosakan tidak sengaja yang berlaku ke atas paip dan kabel bawah tanah, menurut satu kenyataan Dewan Bandaraya.

"Pekerja yang tersentuh paip gas dan elektrik secara tidak sengaja juga berdepan bahaya kematian atau kecederaan serius," menurut kenyataan itu.

Pejabat Datuk Bandar kini menjalin kerjasama rapat dengan pihak yang bertanggungjawab terhadap utiliti, pengendali pengangkutan dan rakan kongsi lain untuk mewujudkan peta digital itu.

Projek serupa turut dijalankan di Sunderland yang terletak di utara England.

"Penggunaan data inovatif ini berpotensi untuk merevolusi operasi harian dalam sektor infrastruktur. Skim perintis ini merupakan berita hebat untuk London," kata Jules Pipe, Timbalan Datuk Bandar bagi Perancangan, Penjanaan Semula dan Kemahiran.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu