Lelaki cuba larikan kanak-kanak perempuan ditahan polis [ 2m ago ]

Yayasan Mohammed bin Rashid Al Maktoum anjur iftar, rai golongan kurang bernasib baik

Tarikh kemaskini: 18/05/2019
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sejumlah 500 orang daripada pelbagai badan amal, sekolah agama dan rumah anak yatim sekitar Lembah Kelang di sini diraikan dalam program iftar anjuran Yayasan Kebajikan dan Kemanusiaan Mohammed Bin Rashid Al Maktoum pada Jumaat malam.

Majlis itu diselaras oleh Kedutaan Emiriah Arab Bersatu di Kuala Lumpur dan berlangsung di Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia di sini.

Wakil Kedutaan UAE Abdalla Alalawi berkata majlis itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial kedutaan tersebut untuk lebih dekat dan merapatkan silaturahim dengan masyarakat setempat di sini.

“Ramadan adalah peluang yang baik untuk kita memperkukuh hubungan dengan badan-badan amal di Malaysia dan pada masa yang sama, membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama selepas program itu.

Pada majlis itu, Abdalla turut menyerahkan bekalan barangan runcit kepada badan amal.

Antaranya Rumah Titian Kasih, Rumah Perlindungan Dar Saadah, Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Rumah Penyayang Darul Ilmi, Persatuan Braille Malaysia dan Maahad Tahfiz Muaz.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu