TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 24m ago ]

New Zealand sertai Chile, Singapura dalam rundingan berkaitan perkongsian ekonomi digital

Tarikh kemaskini: 18/05/2019
WELLINGTON, 18 Mei (Bernama) -- New Zealand bakal menyertai Chile dan Singapura dalam rundingan bagi mewujudkan peraturan perdagangan baharu dan amalan terbaik bagi era digital, lapor agensi berita China Xinhua.

"Masa depan perdagangan antarabangsa adalah digital. Ketiga-tiga negara kita mempunyai rekod yang kukuh dari segi kerjasama berkaitan peraturan dan amalan terbaik bagi dasar perdagangan antarabangsa," kata Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport David Parker dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Parker, bersama-sama Menteri Hal Ehwal Luar Chile Roberto Ampuero dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing, telah mengumumkan permulaan rundingan di luar mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan di Vina del Mar, Chile.

Pertumbuhan perdagangan digital yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah membawa kepada perkembangan norma dan peraturan perdagangan yang relevan agak ketinggalan, kata Parker sambil menambah kesemua rundingan ini adalah satu peluang kepada New Zealand untuk membantu membentuk peraturan baharu dalam bidang ini bagi memastikan mereka memudahkan perniagaan dan pengguna memanfaatkan peluang perdagangan digital sambil melindungi kepentingan awam dan swasta.

"Kami akan memastikan bahawa isu penting untuk rakyat New Zealand seperti privasi peribadi, perlindungan pengguna, pengurusan data, ketelusan dan keterbukaan dilindungi sewajarnya," kata menteri itu.

Bagi negara yang bergantung kepada perdagangan namun jauh dari pasaran utama, perdagangan digital boleh membantu perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana, mengatasi cabaran skala dan jarak, katanya.

"Teknologi digital juga berpotensi menyokong peningkatan penglibatan wanita, kaum Maori dan masyarakat luar bandar dalam perdagangan, yang membantu menyebarkan manfaat perdagangan ke seluruh masyarakat dan wilayah kami -- matlamat utama dasar Perdagangan untuk Semua kami," kata Parker.

Rundingan dengan Chile dan Singapura berkaitan perjanjian perdagangan digital baharu juga bakal melengkapi dan menyokong rundingan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) mengenai e-dagang serta aliran kerja ekonomi digital dalam APEC dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), katanya.

Susulan serangan pengganas 15 Mac di Christchurch dan kebimbangan kerajaan mengenai peranan teknologi internet dalam membolehkan serta menggalakkan keganasan ekstremisme, New Zealand juga berhasrat meneroka bersama-sama Singapura dan Chile tentang bagaimana perjanjian itu boleh menangani isu ekonomi digital berkaitan internet yang selamat, terjamin dan bebas termasuk isu menghapuskan kandungan pengganas dan kekerasan melampau secara online tanpa menjejaskan hak asasi manusia.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu