MTW2019 Kick off today [ 4h ago ]

Serangan bom di Afghanistan: 4 orang awam maut, 14 lagi cedera

Tarikh kemaskini: 18/05/2019
HERAT (Afghanistan), 18 Mei (Bernama) -- Sekurang-kurangnya empat orang awam maut manakala 14 lagi cedera, termasuk seorang pemimpin daerah, dalam serangan bom di barat Wilayah Herat, Afghanistan pada Sabtu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tempatan.

"Insiden itu berlaku berhampiran pejabat pentadbiran daerah Obe selepas sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup ketika kenderaan yang membawa pemimpin daerah melewati kawasan itu pada sebelah pagi," kata jurucakap kerajaan wilayah Jilani Farhad kepada Xinhua.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke sebuah hospital daerah dan beberapa orang yang cedera parah berada dalam keadaan kritikal, katanya sambil menambah letupan itu turut memusnahkan kenderaan yang dinaiki pemimpin daerah terbabit dan sebuah kenderaan awam lain, menyebabkan mereka yang berada di dalamnya cedera.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu setakat ini namun penduduk tempatan menyalahkan militan Taliban.

Pemberontakan yang diketuai Taliban berleluasa sejak awal April apabila kumpulan militan itu melancarkan serangan tahunannya di beberapa lokasi di seluruh Afghanistan, yang meragut beratus-ratus nyawa termasuk militan, kakitangan keselamatan dan orang awam.

Selain memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menyokong kerajaan, Taliban telah menggesa mereka agar menjauhi perhimpunan rasmi, konvoi tentera dan pusat tentera yang dianggap sebagai sasaran oleh militan.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu