Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 1h ago ]

39 rakyat Malaysia ditahan di Syria mahu pulang - Polis

Tarikh kemaskini: 19/05/2019
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Tiga puluh sembilan daripada 65 rakyat Malaysia yang ditahan di Syria dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan telah berhubung dengan pihak polis bagi menyatakan hasrat untuk pulang semula ke negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata jumlah itu melibatkan 10 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.

“Setakat ini, mereka telah berhubung dengan pihak kami dan menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, ia melibatkan banyak pihak dan kita perlu mengumpulkan mereka di satu tempat.

“Pihak kami percaya ini hanya sebahagian jumlah yang meminta untuk pulang namun jumlah tersebut diyakini akan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan anjuran Bahagian E8 Cawangan Khas Bukit Aman, di sini, Sabtu malam.

Ayob Khan berkata urusan membawa pulang mereka itu melibatkan dasar, dan keputusan mengenai perkara tersebut akan dibuat kerajaan.

“Mereka ini berada di tiga lokasi berbeza di Syria, termasuk di Al-Hasakah serta Idlib, dan sebahagian mereka yang ingin pulang adalah disebabkan kerana kematian suami dan sebagainya.

“Tahanan tersebut ada menghubungi pihak kami secara terus dan menerusi orang perantaraan bagi mewakili mereka di sana pada awal bulan puasa ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membawa pulang seorang wanita Malaysia bersama dua anaknya, seorang lelaki dan seorang perempuan yang terkandas di Syria, selepas suaminya yang juga anggota kumpulan Daesh terbunuh dalam pertempuran.

Pada majlis itu, 122 bekas tahanan militan, antaranya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diraikan dalam usaha mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan itu dengan kumpulan berkenaan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu