TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 8m ago ]

Lima lelaki jalankan kegiatan perjudian ditahan

Tarikh kemaskini: 19/05/2019
GEORGE TOWN,19 Mei (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki kerana disyaki menjalankan kegiatan judi loteri awam haram dan judi lumba kuda dalam pemeriksaan di tiga buah premis berasingan di kawasan Jalan Patani, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari bahagian perjudian, kongsi gelap, maksiat (D7) Siasatan Jenayah daerah telah membuat pemeriksaan di tiga premis perniagaan berkenaan pukul 12.45 tengah hari sebelum menahan lima lelaki berkenaan.

"Susulan penahanan lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun itu, polis merampas kertas bercetak angka-angka, buku perlumbaan kuda bahasa Cina, helaian keratan surat khabar bahasa Cina tercatit angka-angka, pager, buku Turf Guide, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai," katanya di sini hari ini.

Katanya lima lelaki itu direman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 4A (a) dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang telah diberikan dan mereka yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada polis di talian 04-2181844 .

Dalam kejadian berasingan, polis menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia 22 sehingga 31 tahun yang disyaki terlibat dengan kes judi loteri awam haram di tiga buah premis berbeza di Kepala Batas dan Telok Ayer Tawar, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, "Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari D7 Bahagian Siasatan Jenayah SPU telah menjalankan “Op Dadu” bermula pukul 3 petang hingga 7 petang Jumaat sebelum menahan tiga individu berkenaan," katanya.

Katanya, pihak polis turut merampas tiga keping slip kertas bercetak angka-angka tertera tulisan disyaki judi loteri awam haram, tiga buah telefon bimbit, tiga buah mobile data printer pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai.

"Kesemua barang rampasan akan dihantar ke pakar judi yang dilantik untuk tujuan analisis," katanya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu