EKONOMI

ARGENTINA TAWAR PELUANG DALAM INDUSTRI 4.0, ROBOTIK & IOT - MITI

23/05/2019 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu mengukuhkan perdagangan dua hala dengan Argentina dalam pelaburan dan ekonomi menerusi usaha sama dalam beberapa bidang.

Menterinya Datuk Darell Leiking berkata antara bidang yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Pengeluaran dan Buruh Argentina, Dante Enrique Sica ialah Industri 4.0, robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta peralatan dan komponen automotif.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membincangkan prospek perdagangan dan pelaburan dengan lebih lanjut berdasarkan Perjanjian Perdagangan dan Perjanjian Jaminan Pelaburan dua hala yang sedia ada.

Leiking kini dalam misi perdagangan dan pelaburan lima hari ke Amerika Latin.

Di Argentina, misi keduanya selepas Chile, beliau bertemu beberapa pemimpin syarikat di negara itu dan membincangkan pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan dalam jentera, agromakanan, makanan kesihatan, kecerdasan buatan berkaitan amaran alam sekitar dan program peningkatan kapasiti.

Mesyuarat itu juga mengakui pentingnya untuk meneruskan hubungan langsung antara Kuala Lumpur dan Buenos Aires bagi meningkatkan lagi perniagaan antara kedua-dua negara, kata MITI.

MITI berkata rombongan Menteri turut disertai Duta Besar Malaysia ke Argentina serta pegawai kanan MITI, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii), yang terlibat dalam perbincangan dan rundingan.

Argentina kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin pada tahun 2018.

Perdagangan dengan Argentina mencecah RM5.39 bilion pada 2018 dengan eksport ke Argentina mencatatkan RM570 juta manakala import RM4.81 bilion.

Produk getah, barangan elektrik dan elektronik, produk petroleum, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, peralatan dan komponen, menyumbang hampir 70 peratus daripada eksport ke Argentina.

Barangan perkilangan lain serta makanan haiwan dan kulit serta pertanian (bijirin) menyumbangkan 90 peratus daripada import dari Argentina.

Syarikat-syarikat Argentina melabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia, manakala syarikat Malaysia berjaya menembusi Argentina dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, minyak dan gas, pegangan pelaburan dan perkilangan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan