MTW2019 Kick off today [ 3h ago ]

Untung bersih BIMB meningkat kepada RM202.5 juta pada Q1

Tarikh kemaskini: 23/05/2019
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih dicatatkan BIMB Holdings Bhd pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac, 2019 meningkat sebanyak 17.7 peratus kepada RM202.5 juta daripada RM172.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan melonjak kepada RM1.18 bilion daripada RM999.3 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan perkhidmatan kewangan Islam perdana Malaysia itu berkata ia mencatatkan pulangan ekuiti tahunan sebanyak 16.1 peratus, antara yang tertinggi dalam industri.

Cabang perbankan Islamnya, Bank Islam Malaysia Bhd, mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM219.9 juta bagi Q1 2019, meningkat RM12.7 juta atau 6.1 peratus berbanding RM207.2 million dalam suku sama pada tahun sebelumnya .

Peningkatan PBZT itu dipacu oleh jumlah pendapatan lebih tinggi.

Jumlah aset bank itu adalah sebanyak RM63.3 bilion pada 31 Mac, 2019, peningkatan tahun ke tahun RM4.6 bilion daripada RM58.7 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pembiayaan bersih sebanyak RM3.7 billon dan pelaburan sekuriti sebanyak RM2.9 bilion.

“Peningkatan menyeluruh itu, bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh tunai lebih rendah dan dana jangka pendek sebanyak RM2.7 bilion,” katanya.

Pada akhir Mac2019, deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM53.8 bilion dengan peningkatan tahun ke tahun RM2.1 bilion atau 4.0 peratus.

Bagi segmen Takaful, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan 33.5 peratus lebih tinggi bagi PBZT iaitu RM113.3 juta berbanding RM84.9 juta bagi tempoh sama pada 2018.

Perolehannya meningkat 23.1 peratus kepada RM918.2 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac, 2019, berbanding tempoh sama tahun lepas, sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan lebih tinggi yang dijana perniagaan Takaful Keluarga.

Meskipun sentimen perniagaan kekal berhati-hati pada tahun ini, industri Takaful dijangka mengatasi insurans konvensional berdasarkan permintaan kukuh terhadap produk Takaful.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu