Lelaki simbah cat di masjid dan surau ditahan [ 1h ago ]

Isu rampasan kapal kargo halang rundingan semula dengan AS - Duta Korea Utara

Tarikh kemaskini: 23/05/2019
SEOUL, 23 Mei (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal kargo Korea Utara menjadi halangan terbesar dalam usaha menyambung semula rundingan nuklear antara kedua-dua negara, dan kapal itu perlu dipulangkan, kata Duta Pyongyang ke Geneva.

"Ia merupakan isu terbesar... dan satu pencabulan sewenang-wenangnya terhadap undang-undang antarabangsa," kata Han Tae Song kepada Reuters dalam satu temu bual pada Rabu (waktu Geneva), lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Pada 9 Mei, Jabatan Kehakiman AS mengumumkan ia telah merampas kapal pengangkut seberat 17,061 tan Wise Honest yang disyaki melakukan penghantaran arang batu secara haram yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan AS terhadap negara komunis itu.

Menyifatkan tindakan itu sebagai mencabul kedaulatan Korea Utara, Han menuntut agar AS memulangkan kapal itu dan Washington membuat "satu keputusan yang besar" untuk melonggarkan sekatan tersebut jika ia ingin memulakan rundingan dengan Pyongyang.

Kenyataan Han serupa dengan yang dibuat oleh Kim Song, utusan khas terkemuka Korea Utara ke PBB, dalam satu sidang akhbar yang jarang berlaku di New York sehari sebelum itu.

Kim turut menyelar tindakan AS merampas kapal itu dan mengulangi tuntutan agar ia dipulangkan.

Kim juga memberi amaran mengenai potensi "akibat" tindakan itu terhadap hubungan masa depan AS-Korea Utara jika pentadbiran Presiden Donald Trump bertegas dengan keputusannya merampas kapal tersebut, yang disifatkannya sebagai "satu produk awal dasar permusuhan melampau" terhadap Korea Utara.

Jabatan Negara AS kemudian berkata ia tetap tegas melaksanakan sekatan PBB ke atas Korea Utara seperti yang dipersetujui negara anggota sambil menambah bahawa Washington adalah terbuka untuk berunding dengan Pyongyang.

Rundingan nuklear antara kedua-dua negara menemui jalan buntu pada sidang kemuncak pemimpinnya di Hanoi pada Februari apabila mereka gagal merapatkan jurang dalam isu pembasmian senjata nuklear oleh Korea Utara dan pelonggaran sekatan oleh AS.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu