Taiping police busted Lan Ijok, Takim crime gangs [ 3m ago ]

UMW Holdings peruntuk RM607 juta perbelanjaan modal bagi 2019

Tarikh kemaskini: 23/05/2019
SHAH ALAM, 23 Mei (Bernama) -- UMW Holdings Bhd peruntukkan RM607 juta bagi perbelanjaan modal untuk tahun kewangan semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Badrul Feisal Abdul Rahim berkata daripada jumlah itu, RM174 juta diperuntukkan bagi sektor automotif, sektor peralatan (RM262 juta), sektor pembuatan dan kejuruteraan (RM117 juta), sektor lain (RM51 juta) manakala RM1.6 juta bagi aspek pembangunan UMW.

“Pada tahun ini, UMW peruntukkan RM174 juta untuk menaik taraf kilang di Shah Alam bagi sektor automotif untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tambahan.

“Ia berikutan pada tahun lepas, kita telah melengkapkan kilang baharu Toyota di Bukit Raja, Klang yang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran kenderaan model pemasangan kandungan tempatan (CKD),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat agung tahunan UMW Holdings di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun wujudnya pelbagai cabaran antaranya kesan perang perdagangan dunia, namun pihaknya menjangkakan perniagaan syarikat itu mampu mengekalkan momentum dengan lebih baik tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata UMW turut menyasarkan untuk memperkenal lebih banyak model kenderaan jenis CKD termasuk dalam segmen hibrid dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran tempatan pada masa depan.

Susulan pelancaran dua jenis kereta CKD berwajah baharu iaitu Toyota Vios dan Toyota Yaris awal tahun ini, Badrul Feisal berkata pihaknya yakin untuk meletakkan sasaran tinggi dalam penjualan kenderaannya walaupun Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, awal bulan ini.

Badrul Feisal berkata sebanyak 75,000 unit kenderaan bagi jenama Toyota manakala 231,000 unit kenderaan bagi jenama Perodua disasar dapat dijual pada tahun ini.

“Kami memang mengharapkan UMW dapat mencapai sasaran jualan yang tinggi tahun ini yang mana berdasarkan jualan semasa, sebanyak 2,000 unit Toyota Vios baharu dan 800 ke 900 unit Toyota Yaris baharu terjual dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan,” katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu