TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 11m ago ]

Mukhriz mohon ampun kepada Sultan Johor

Tarikh kemaskini: 24/05/2019
ALOR SETAR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini telah mengutuskan surat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon ampun di atas kekhilafan beliau kerana tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.

Dalam satu kenyataan di sini, Mukhriz menyatakan bahawa beliau telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan beliau sendiri.

“Kekhilafan itu juga tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah,” katanya.

Hari ini tular di laman sosial satu video berdurasi 14 saat yang memaparkan kejadian Mukhriz didakwa enggan bersalaman dengan Sultan Johor dan anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ketika Istiadat Pemakaman Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah, di Pekan semalam.

Dalam video berkenaan, Mukhriz dilihat hanya mengangkat tangan ketika tiba gilirannya bersalaman dengan Sultan Ibrahim sebelum kemudiannya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tindakan Mukhriz tersebut mengundang pelbagai kritikan dan perbalahan pendapat daripada rakyat selain menerima desakan daripada pelbagai pihak supaya beliau meminta maaf kepada Sultan Johor.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis berrbuka puasa di LANGKAWI, Mukhriz berkata beliau berharap Sultan Ibrahim mengampunkan kekhilafan beliau kerana tidak bersalaman dengan baginda.

"Hari ini saya telah utuskan sepucuk surat untuk memohon maaf atas kekhilafan saya tidak bersalaman dengan baginda. Biasalah orang Kedah ni kadang-kadang kita kalut jadi itu sajalah saya harap baginda dapat terima permohonan maaf saya itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan di Masjid Nurus Salam, Kampung Ewa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, ketika kejadian itu berlaku beliau sedang mengiringi Sultan Kedah (Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah).

"Tuanku Sultan dah ke depan dan akan mula acara bacaan doa jadi saya nak cepat ke sana tapi ternampak Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) jadi saya bersalaman untuk ucapkan takziah.

"Apapun memang kesilapan saya jadi saya mohon maaf atas kekhilafan. Saya tak sengaja tetapi tidak boleh guna alasan tidak sengaja jadi sepatutnya memang kena berhenti untuk bersalaman," katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu