TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 11m ago ]

Tiada perbincangan hapus sekolah vernakular - TPM

Tarikh kemaskini: 24/05/2019
BUKIT MERTAJAM, 24 Mei (Bernama) -- Tidak ada sebarang perbincangan oleh kerajaan berhubung cadangan menghapuskan sekolah vernakular, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan berhubung perkara berkenaan yang dibangkitkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak pernah dibawa atau diusulkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, berkata beliau sudah lama telah menyedari desakan dan cadangan perkara berkenaan, bagaimanapun sehingga kini masih belum dibincangakan dengan lebih terperinci.

"Sebenarnya kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia sebenarnya memberi kelebihan kepada masyarakat di negara ini untuk belajar pelbagai bahasa. Apa salahnya kita belajar bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, malah ini sebagai aset negara.

"Sewaktu kunjungan saya ke Geneva baru-baru ini, mereka di sana boleh bercakap sehingga lima bahasa, jadi apa salahnya kita belajar bahasa Tamil dan Mandarin, Inggeris ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Yayasan Aman di Penanti, dekat sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas desakan NGO menerusi satu memorandum, yang mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di pejabatnya di Putrajaya, kelmarin.

Memorandum itu adalah susulan daripada kenyataan Maszlee mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menyambut baik kritikan yang dilemparkan oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin supaya mana-mana menteri, menteri besar dan anggota exco kerajaan negeri yang kurang menyerlah meletak jawatan mereka secara sukarela.

“Saya menyambut baik kritikan itu dan kita akan cuba baiki sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu