Dua pasang kekasih geng samun kenderaan, rumah ditahan [ 49s ago ]

Sierra Leone: Mahkamah tarik balik kelayakan 10 anggota parlimen pembangkang

Tarikh kemaskini: 01/06/2019
FREETOWN (Sierra Leone), 1 Jun (Bernama) -- Kelayakan 10 anggota parlimen pembangkang utama parlimen Sierra Leone ditarik balik, selepas sebuah mahkamah meluluskan petisyen difailkan Parti Rakyat, lapor agensi berita Anadolu pada Jumaat.

Petisyen pilihan raya itu difailkan Parti Rakyat SLPP yang merupakan parti pemerintah, ke atas 16 anggota Parlimen pembangkang kerana menipu undi, terlibat dengan keganasan dan salah laku dalam memperolehi gaji sebagai kakitangan awam.

Keputusan berkenaan menjadikan parti pemerintah kini mempunyai 58 kerusi, manakala pembangkang APC 57 kerusi, dengan dua lagi pilihan raya kecil akan diadakan semula.

Sebelum ini, parti pembangkang mempunyai 63 kerusi.

Keputusan itu, mencetuskan bantahan di jalan-jalan raya di ibu kota Freetown, menyaksikan polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Karamoh Kabbah dari pembangkang mendakwa, jurucakap parti itu, Cornelius Deveaux dan beberapa anggota parti lain turut dikasari anggota polis hingga menyebabkan kecederaan.

Peguam pembela, Africanus Sesay memberitahu stesen televisyen kebangsaan SLBC, rayuan akan dibuat dan membawa kes itu ke Mahkamah Agung.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu