Lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai jatuh laut ketika memancing [ 11m ago ]

Sabah terus perkasa program MESEJ, Kampung Sejahtera

Tarikh kemaskini: 03/06/2019
KOTA KINABALU, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan terus memperkasa Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Program Kampung Sejahtera dengan memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk melaksanakan program aktiviti ekonomi tambahan dan pelancongan luar bandar di kawasan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya telah memberikan peruntukan kepada dua MESEJ masing-masing di Kaingaran, Tambunan, dan Kinolosodon, Papar, untuk membangunkan inap desa sekali gus menggalakkan lagi aktiviti pelancongan.

“Sementara itu, program berkaitan aktiviti ekonomi tambahan seperti pertanian jangka pendek dan perusahaan ternak juga diperkenalkan sebagai punca pendapatan tambahan kepada keluarga isi rumah peserta di MESEJ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ewon berkata kementeriannya juga bercadang mempelbagaikan program berkaitan sosio kebudayaan dan kemasyarakatan di MESEJ dan Kampung Sejahtera sebagai wadah interaksi serta komunikasi antara peserta program dengan pimpinan kerajaan serta pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi.

Langkah itu penting bagi membolehkan peserta program mendapatkan maklumat berkaitan meningkatkan kualiti hidup termasuk memudahcara permohonan biasiswa dan pembiayaan pendidikan kepada anak-anak mereka yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi, katanya.

Menurutnya, MESEJ dan Kampung Sejahtera adalah antara dua program utama kementeriannya bertujuan menyusun semula masyarakat bagi membangunkan ekonomi keluarga miskin sekali gus meningkatkan kualiti hidup kampung terpinggir melalui akses kemudahan dan program ekonomi.

Setakat ini, Sabah mempunyai 52 program MESEJ dan 55 program Kampung Sejahtera, katanya.

“Saya berpeluang melawat sebahagian perkampungan program ini dan sememangnya banyak keperluan untuk menambah baik serta memperkasakan lagi program ini kerana ada kampung menunjukkan kejayaan tetapi ada juga berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran," katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu