MTW2019 Kick off today [ 3h ago ]

P. Pinang sasar 500,000 kehadiran pada Festival George Town 2019

Tarikh kemaskini: 03/06/2019
GEORGE TOWN, 3 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri berharap dapat menarik setengah juta penyertaan pada edisi ke-10 Festival George Town (GTF) tahun ni yang akan diadakan bermula 13 hingga 28 Julai.

Selaras dengan tema “A Festival for Everyone”, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata festival ini diadakan untuk semua lapisan masyarakat yang merangkumi masyarakat seni dan orang awam.

Beliau berkata pengunjung festival yang mencari kepuasan artistik akan disajikan dengan persembahan tarian, teater, forum, ceramah, fesyen, muzik, komedi dan filem.

“Bagi komuniti seni yang berminat untuk menyertai perbincangan mendalam mengenai seni dan penjenamaan, mereka boleh menghadari simposium seperti Great New World, From Free Port to World Heritage Site and Isle to Isle: Design Forum,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, GTF 2019 akan diadakan dengan bajet yang lebih rendah iaitu RM3 juta berbanding RM4.5 juta tahun lepas.

Chow berkata GTF 2018 berlangsung selama sebulan berbanding festival tahun ini yang akan diadakan selama 16 hari.

Beliau berkata sebanyak 150 program akan diadakan sepanjang festival itu.

GTF sebelum ini dianjurkan oleh Joe Sidek Productions dengan Joe Sidek sebagai pengarah festival sejak ia mula diadakan pada 2009, bagaimanapun pengurusan bagi GTF 2019 dan GTF 2020 diserahkan kepada TLM Event Sdn Bhd.

Chow berkata keputusan itu dibuat oleh lembaga pengarah George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) melalui satu permohonan cadangan (RFP) oleh kerajaan negeri antara September dan November tahun lepas.

“Kami mahukan sesuatu yang baharu dan kami telah menerima maklum balas sejak beberapa tahun, itulah sebabnya RFP telah dibuka untuk melantik penganjur acara yang baharu untuk GTF," katanya.

-- BERNAMA








BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu