EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 3m ago ]

UTP, Universiti Adelaide meterai MoU bangunkan projek penyelidikan

Tarikh kemaskini: 10/06/2019
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Adelaide hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam aktiviti akademik dan pertukaran budaya.

Perjanjian lima tahun itu membuka ruang kerjasama dalam beberapa bidang termasuk staf akademik, pertukaran pelajar, seminar, persidangan, projek penyelidikan dan projek lain yang memberi faedah kepada universiti berkenaan.

Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Ketua Pegawai Strategi UTP, Ir Dr Aidid Chee Tahir menandatangani MoU itu bagi pihak universiti berkenaan manakala Universiti Adelaide diwakili Naib Canselor dan Presiden Prof Peter Rathjen dan Pro Naib Canselor (Antarabangsa) Prof Nancy Cromar.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Terdahulu, Mohamed Ibrahim dalam ucapannya berkata MoU itu mencerminkan komitmen UTP dan Universiti Adelaide untuk meningkatkan kerjasama dalam projek penyelidikan khususnya dalam bidang geosains petroleum.

“Melalui kerjasama ini, kita harap dapat mewujudkan iklim yang lebih baik yang menawarkan peluang baharu untuk pelajar dan kakitangan serta mendedahkan mereka kepada pengalaman pendidikan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu