Lonjakan harga minyak menguntungkan Malaysia, kata penganalisis [ 12m ago ]

Premium insurans kekal untuk pemegang polisi semasa ILP - LIAM

Tarikh kemaskini: 11/06/2019
Ketua Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Mark O'Dell semasa sesi temu bual wartawan Bernama baru-baru ini. Foto: Hairul
Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Premium insurans bagi pemegang polisi semasa produk berkaitan pelaburan (ILP) tidak dinaikkan susulan pelaksanaan garis panduan baharu bagi ILP oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Julai, 2019, kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Ketua Eksekutifnya Mark O'Dell berkata premium bagi ILP yang diambil sebelum garis panduan berkuat kuasa, kekal sehingga tempoh penuh kontrak.

“Tiada perubahan selepas garis panduan itu berkuat kuasa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini sambil menafikan maklumat yang mengelirukan oleh ejen insurans yang mendakwa premium akan naik berikutan pengenalan garis panduan baharu itu.

BNM mengeluarkan Dokumen Dasar mengenai Perniagaan Berkaitan Pelaburan pada Januari tahun ini, dengan objektif utama untuk melindungi kepentingan pengguna.

Dokumen itu menggariskan beberapa inisiatif utama, termasuk standard minimum ujian kemampanan dan kadar peruntukan minimum untuk melindungi nilai akaun polisi/pemilik sijil ILP.

Pendedahan bagi kemampanan perlindungan bertujuan untuk meningkatkan ketelusan semasa jualan dan memastikan pengguna diberikan maklumat yang mencukupi dan tepat pada masanya untuk memudahkan pengurusan aktif polisi ILP mereka.

"Mulai 1 Jan, 2020, anda akan menerima kenyataan tahunan yang memaklumkan tentang perlindungan berdasarkan premium semasa. Jika anda memerlukan perlindungan yang lebih lama, anda boleh secara sukarela meningkatkan bayaran premium," kata O'Dell.

Beliau berkata pemegang polisi perlu mengetahui perbezaan antara polisi yang dibeli sebelum 1 Julai dan polisi baharu yang dibeli selepas tarikh itu, kerana syarikat insurans akan membuat sebut harga premium bagi keseluruhan tempoh kontrak seperti yang dikehendaki oleh bank pusat.

O'Dell berkata pemilik polisi ILP sedia ada dan pengguna yang berhasrat membeli polisi itu sebelum 1 Julai, perlu menyemak terma kontrak dan mengetahui tempoh perlindungan berdasarkan premium semasa mereka.

"Mereka perlu menghubungi penanggung insurans atau pengendali takaful mereka untuk penjelasan lanjut, jika perlu," katanya.

O'Dell berkata ILP diperkenalkan di Malaysia pada 1999, dan menjadi peneraju dari segi penguasaan pasaran produk insurans hayat.

ILP mewakili 45.1 peratus dan 52.9 peratus premium perniagaan baharu dan premium sedia ada pada 2018.

Sementara itu, O'Dell berkata industri insurans Malaysia mempunyai banyak ruang untuk pengembangan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara.

"Oleh sebab penanggung insurans menawarkan produk yang lebih canggih untuk memenuhi keperluan pengguna, kami yakin ia akan membantu meningkatkan premium dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata skim insurans premium rendah, Perlindungan Tenang, merupakan langkah besar dalam mempromosikan keterangkuman lewangan untuk memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai, khususnya segmen isirumah B40.

Setakat ini, kira-kira 37,600 pemegang polisi mendaftar untuk produk insurans hayat yang ditawarkan di bawah inisiatif Perlindungan Tenang, dengan nilai jaminan RM714.29 juta.

-- BERNAMA














       Berita Utama Terdahulu