EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 20m ago ]

Air Mata Gembira Penduduk Long Puak Dapat Air Bersih

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
Projek Gotong Royong Saliran Air Bersih untuk Kampung Long Puak, Miri, Sarawak. --Gambar ihsan Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (PGKM) .
Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Buat pertama kalinya selepas lebih 28 tahun bergantung hidup kepada air hujan, 500 orang penduduk Kampung Long Puak, di pedalaman Miri, Sarawak kini boleh melupakan penderitaan itu.

Sejak 17 Mei lepas, paip yang dipasang di rumah penduduk, mula membekalkan air bersih yang diperolehi dari kawasan air terjun yang berdekatan.

Tiada kata-kata yang mampu mereka ucapkan selain menitiskan air mata kegembiraan saat melihat air bersih keluar daripada paip setelah puluhan tahun lelah menadah air hujan untuk keperluan harian.

Suasana yang cukup mengharukan itu turut disaksikan sendiri oleh hampir 100 sukarelawan belia Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (PGKM) dan belia tempatan yang bertungkus lumus menjayakan Projek Gotong Royong Saliran Air Bersih di kampung itu.

Menurut Ketua Projek yang juga Presiden PGKM, Khairul Annuar Mansor, air hujan adalah sumber air utama penduduk Kampung Long Puak sejak penempatan itu dibuka lebih 28 tahun lalu.

Walaupun kesulitan itu sudah dianggap seperti “alah bisa tegal biasa”, namun setiap hari penduduk kampung dari suku kaum Kenyah itu tetap berdoa mengharapkan sumber air yang lebih bersih dapat dinikmati satu hari nanti.

“Mereka tidak mahu anak cucu mereka melalui keperitan hidup selama mereka tinggal di perkampungan rumah panjang itu.
Cabaran paling getir ialah menarik paip hitam merentasi Sungai Baram untuk sampai ke Kampung Long Puak yang dilakukan pada awal Ramadan lalu. --Gambar ihsan Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (PGKM).

“Kebanyakan anak-anak mereka terpaksa keluar dari kampung dan menetap di kawasan bandar kerana ketiadaan air bersih ini,” katanya.

Beliau berkunjung ke pejabat Bernama sebaik sahaja selesai tugas di Kampung Long Puak untuk berkongsi kejayaan menyediakan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan.



CETUSAN IDEA

Bercakap lebih lanjut tentang Projek Gotong Royong Saliran Air Bersih ini, beliau berkata ia dirancang sejak 2017.
Ketua Projek Air Bersih di Kampung Long Puak, yang juga Presiden PGKM, Khairul Annuar Mansor. --Gambar ihsan Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (PGKM).

Projek itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif program “SDG (Sustainable Development Goals) Among Orang Asli, Young Women And Youth In Rural Area in Sabah dan Sarawak” anjuran Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur ( IYCKL).

Mengenai pemilihan Kampung Long Puak, beliau menjelaskan ia dicadangkan oleh salah seorang ahli persatuan PGKM, Siti Shazleen Shazali yang juga penduduk di Long Puak.

Ketika tinjauan awal dibuat pada 20 Nov 2017, misi utama adalah untuk membangunkan orang muda di kampung itu agar tidak terus tercicir daripada pembangunan belia.

“Saya pergi ke kampung itu bersama dua lagi rakan belia dan saya dapati ada isu yang lebih besar di kampung ini yang yang perlu diselesaikan. Bagaimana untuk bangunkan orang muda sedangkan kemudahan asas iaitu air bersih tidak ada.

“Saya lihat yang tinggal di kampung itu hanya golongan tua sahaja sebab anak-anak muda semua merantau,” tambahnya.

Selain bekerja di Miri yang jaraknya lebih kurang 300 kilometer dari kampung berkenaan dengan tiga jam perjalanan darat, ada juga penduduk yang bekerja di syarikat kuari yang letaknya lebih kurang 10 kilometer dari kampung dan tinggal di rumah pekerja yang disediakan majikan.

Kebanyakan mereka yang bekerja di syarikat kuari hanya pulang ke kampung pada hujung minggu.

Menurut Khairul, ketika berbincang dengan wakil penduduk kampung, Pius Jau bersama beberapa orang kampung, mereka meluahkan harapan yang terlalu tinggi agar ada pihak dapat menyelesaikan isu air bersih di kampung itu.

Dalam perbincangan itu juga mereka menyatakan terdapat sumber air terjun berdekatan dengan kampung tetapi perlu menyeberang Sungai Baram yang terkenal sabagai salah satu lubuk buaya di Sarawak.



BERJAYA DAPATKAN DANA

Enggan menghampakan harapan penduduk kampung, beliau bersama beberapa orang lagi termasuk Pengarah IYCKL, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, melakukan pelbagai usaha termasuk “naik turun” ke beberapa kementerian dan jabatan kerajaan bagi mendapatkan bantuan untuk merealisasikan projek air bersih itu.

Wakil kampung, Pius kemudian mencadangkan untuk membawa bertemu Yang Berhomat Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau yang bertanggungjawab di kawasan ini.

Daripada perbincangan dengan Dennis membawa kepada pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg di pejabatnya pada 29 Ogos 2018.

“Ketua Menteri secara dasarnya sangat suka dengan projek gotong royong air bersih ini dan beliau menyatakan persetujuan untuk membantu.

“Sehingga pada awal April lalu, YB Dennis meminta saya datang ke Miri kerana bajet untuk projek tersebut telah diluluskan,” katanya yang mendapat peruntukan khas daripada Pejabat Ketua Menteri melalui Pusat Khidmat Masyarakat N77 Telang Usan untuk projek tersebut.

Setelah sumber dana diperolehi, tanpa berlengah lagi kerja projek gotong royong mega ini terus dilaksanakan dengan membuka pejabat sekretariat di Kampung Long Puak pada 15 April lepas.

“Saya susun gerak kerja yang akan dilakukan sebab kami datang bukan sebagai kontraktor sebaliknya kami adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai perancang dan menguruskan.

“Saya katakan kepada YB Dennis, perlu libatkan semua belia dan penduduk kampung untuk bersama-sama di dalam projek ini agar mereka berasa ini adalah projek mereka bersama,” katanya.



CABARAN PROJEK

Seperti yang dijangkakan, lokasi kampung yang jauh di pedalaman memerlukan kos logistik yang sangat tinggi.

Semua peralatan dan barangan untuk projek ini dibeli di bandar Miri. Dari Miri mereka perlu melalui jalan bertar hingga ke Long Lama lebih kurang dua jam dan kemudian menyambung dengan melalui jalan balak selama satu jam untuk sampai ke kampung.

Sewaan kenderaan pacuan empat roda dan lori pergi dan balik untuk rmembeli dan mengangkut barang cukup mahal, katanya.

Kerja awal dimulakan dengan memasang tangki dan paip di kawasan kampung. Kemudian baharu dibuat empangan di kawasan air terjun yang jaraknya lebih kurang empat kilometer ke kampung.

Paip hitam sepanjang empat kilometer perlu ditarik untuk disalurkan ke tangki paip setiap pintu rumah. Kampung Long Puak mempunyai dua blok rumah panjang. Setiap blok mempunyai 15 pintu.

Semuanya dilakukan menggunakan tenaga manusia secara manual, katanya.

Menurut beliau, cabaran paling getir ialah apabila perlu menarik paip hitam merentasi Sungai Baram untuk sampai ke Kampung Long Puak yang dilakukan pada awal Ramadan lalu.

Mereka perlu beramai-ramai turun ke sungai selebar 150 meter dan kemudian menurunkan batu besar untuk menenggelamkan paip tersebut ke dasar sungai.

“Lebih kurang 100 orang terlibat dalam gerak kerja ini termasuk kumpulan belia yang saya bawa dari Kuala Lumpur serta penduduk kampung yang memang bersungguh-sungguh mahu menjadikan projek ini satu kenyataan.

“Kaum ibu yang sudah tua juga turut bersemangat untuk menyumbang tenaga hingga kami yang melihatnya menitiskan air mata….ia cukup menggambarkan betapa tinggi keinginan mereka untuk dapat air bersih,” kata Khairul.

Beliau berkata sukar untuk mengungkapkan kegembiraan semua pihak yang terlibat di dalam projek gotong-royong ini apabila air bersih sampai ke rumah penduduk selepas genap sebulan projek ini dimulakan.



BANGUNKAN ORANG MUDA

Selain merealisasikan projek bekalan air bersih terus ke 30 pintu rumah panjang di Long Puak, matlamat membangunkan orang muda di kampung tetap diteruskan.

Sebagai permulaan persatuan belia diwujudkan di kampung itu untuk menggerakkan anak-anak muda melibatkan diri dalam pembangunan kampung mereka.

Disebabkan projek air bersih ini, orang-orang muda di kampung ini sudah mula balik terutama hujung minggu, katanya.

“Hampir 70 orang anak-anak muda yang bekerja di luar balik ke kampung untuk sama-sama membantu mencurahkan tenaga dalam projek ini.

“Ini adalah satu permulaan yang baik dan kami akan meneruskan untuk fasa kedua nanti bagi membantu anak-anak muda membangunkan ekonomi kampung ini terutama ekopelancongan,” katanya.

Selain itu kumpulan sukarelawan juga turut bergotong-royong bersama penduduk untuk membersihkan kawasan kampung dan mengecat rumah penduduk bagi menghidupkan suasana yang lebih cantik dan selesa.

Keindahan suasana desa di sini yang tenang dan nyaman dengan dikelilingi hutan yang menghijau serta keunikan budaya masyarkat suku Kenyah boleh dijadikan sebagai satu tarikan pelancongan.

“Hampir 99 peratus penduduk di sini beragama Kristian. Hanya dua keluarga yang beragama Islam dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan mengutip hasil hutan.

"Apa yang penting kami nak orang muda membuka mata membangunkan kampung bukan mementingkan diri sendiri dengan keluar dari kampung atas alasan tidak ada air," katanya pembangunan eko pelancongan akan menjadi fokus pada fasa kedua bagi membangunkan belia di sini

Menurut Khairul, projek yang sama akan diteruskan di dua buah kampung berdekatan yang mempunyai masalah sama iaitu ketiadaan sumber air bersih.

Kampung yang dikenalpasti ialah Long Banyok (2,000 penduduk melibatkan 150 buah pintu) dan Uma Akeh (600 orang penduduk melibatkan 40 buah pintu).

"Kami akan membuat tinjauan awal ke kawasan kampung itu selepas Aidilfitri nanti dan kami berharap usaha ini akan berjaya seperti di Kampung Long Puak," katanya.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu