DBKK sediakan sistem pangkalan data pantau pertumbuhan kawasan setinggan [ 6m ago ]

Pelajar dikhuatiri lemas semasa mahu bergambar di sungai

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUANTAN, 12 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan satu yang berhasrat mengambil gambar di kawasan sungai, dikhuatiri lemas di Sungai Jeram Besu di Dong, Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa, Muhamad Muzzafar Shah Mohamad Rozi, 13, dipercayai lemas setelah tiba-tiba terjun ke sungai berkenaan setibanya di sana dalam kejadian 4.45 petang.

Katanya, mangsa yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sega, Raub difahamkan ke sungai itu bersama dua lagi rakan.

“Mangsa dikatakan terus terjun ke dalam sungai yang dianggarkan sedalam lima kaki dan mempunyai pasir jerlus.

“Dua rakan mangsa mendakwa melihat mangsa lemas dan mereka telah cuba untuk menyelamatkannya, bagaimanapun gagal,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk kampung berkenaan pada 6.20 petang semalam, dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira 7 petang.

Bagaimanapun, operasi yang melibatkan dua pegawai dan 12 anggota polis dan bomba dengan bantuan 40 penduduk kampung hanya dijalankan di tebing sungai kerana cuaca mulai gelap.

Wan Mohd Zahari berkata operasi disambung pagi ini dengan bantun Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin dari Temerloh.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu