EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 26m ago ]

Johor akan bangunkan tanah terbiar dengan tanaman nanas MD2, belimbing

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) – Kerajaan Negeri Johor akan membangunkan tanah-tanah terbiar milik agensi kerajaan dengan mengusahakan tanaman seperti nanas MD2 dan belimbing.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata pembangunan tanah menerusi Projek Revolusi Hijau Pembangunan Tanah-Tanah Terbiar Negeri Johor itu sudah diluluskan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor, baru-baru ini.

“Ini pendekatan terbaharu kerana tanah terbiar di bawah agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Kejora dan Risda, cukup banyak.

“Dianggarkan terdapat hampir 1,000 hektar tanah terbiar di agensi-agensi ini termasuk Lembaga Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor, di sini hari ini.

Tosrin berkata kertas cadangan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan projek berkenaan akan dikemukakan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor, minggu hadapan, sebelum pelancaran projek dilakukan secara besar-besaran dalam tempoh lima bulan ini.

Beliau berkata buat permulaan, projek pertanian tersebut akan dilakukan di sebuah tanah rancangan Felda, namun, kawasan yang terlibat itu akan diumumkan kelak.

Beliau berkata Jabatan Pertanian Negeri Johor akan menjadi sekretariat utama projek tersebut manakala jawatankuasa pelaksanaan akan turut disertai LPP Johor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Johor serta Pejabat Tanah dan Galian Johor.

“Projek utama ini ialah kita menggerakkan tanaman nanas MD2 di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia manakala belimbing dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi). tanaman selingan pula adalah lada hitam dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu