AM

AZMIN NAFI PEMBABITAN DALAM VIDEO LUCAH

12/06/2019 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yakin siri fitnah tersebut adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam kenyataan.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya.

Azmin berkata beliau telah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Menteri itu akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat tersebut.

Beliau yakin kerja jijik tersebut telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas. 

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Azmin yakin Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat tersebut.

Tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Azmin dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Dalam pada itu, UEM Group Berhad (UEM Group) dalam kenyataan hari ini menjelaskan ia tidak memiliki akaun dengan nombor akaun yang tertera seperti dakwaan yang dibuat di pelbagai laman media sosial.

Ia turut memaklumkan tidak memiliki akaun di cawangan utama Maybank Kuala Lumpur. 

“Bagi membersihkan nama syarikat, UEM Group telah membuat satu laporan polis dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata suruhanjaya itu akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan