Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 10m ago ]

Ali, Harith mahu buktikan kemampuan pemain Malaysia di Jepun

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
SEPANG, 12 Jun (Bernama) -- Dua pemain skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar yang dipilih menyertai program Asian Eleven bermula 13-23 Jun di Jepun, berazam membuktikan sisi kehebatan dimiliki pemain Malaysia.

Ali Imran dan Harith Haiqal yang merupakan pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) antara 21 pemain dipilih dari 11 negara Asia Tenggara, di mana setiap negara diwakili dua pemain kecuali Vietnam, untuk membentuk sebuah pasukan ‘All-Star’.

Ali Imran, 17, berkata selain memanfaatkan pendedahan yang bakal diterima, misi beliau adalah membuktikan kepada dunia bahawa pemain Malaysia memahami, dan tahu cara memainkan sukan bola sepak itu dengan betul.

“Alhamdulillah rasa bangga kerana dalam ramai-ramai pemain muda, kami berdua terpilih, kerana itu saya harap dapat berikan yang terbaik tidak kira di dalam latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang program itu.

“Saya nak tunjukkan yang kami pun boleh bermain bola sepak dengan cara yang betul, dan buktikan orang Malaysia pun tahu bermain bola,” kata pemain pertahanan itu ketika ditemui pemberita, sebelum berlepas ke Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

Bagi pemain tengah, Harith Haiqal berkata pemain muda di Malaysia tidak seharusnya berasa kerdil, sebaliknya perlu berfikiran positif serta percaya dengan kemampuan diri untuk terus berjaya, dalam usaha meningkatkan kualiti dimiliki.

Menurut pemain berusia 17 tahun itu, misinya di Jepun adalah berusaha berlatih meningkatkan tahap tempo permainan, untuk membantunya kekal realisitik di atas padang melebihi 90 minit waktu permainan sebenar.

"Kerdil. Kita tidak patut ada rasa macam itu pun, sebab kita pun boleh main bola bukannya mereka (negara luar) sahaja, tetapi kita sentiasa kena perlu belajar. Dan ini peluang kami berdua untuk tunjukkan kebolehan kami.

"Peluang ini saya akan gunakan untuk tingkatkan tempo permainan saya. Saya tak nak bila permainan memasuki minit ke-90 tempo saya sudah mula turun. Saya nak kekalkan tempo itu, sehingga wisel penamat dibunyikan,” katanya.

Kemuncak program berkenaan bakal menyaksikan pasukan Asian Eleven akan bertemu Pilihan Tohoku B-18 di Stadium J-Village, Fukushima pada 22 Jun untuk merebut Piala JapaFun.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal berharap, kedua-dua pemain itu menggunakan peluang tersebut untuk menimba pengalaman berharga.

"Saya doakan Ali dan Harith dapat melakukan yang terbaik di sana nanti. Terima kasih kepada Japan Foundation Asia Center (JFAC), di atas inisiatif ini. Sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada pemain-pemain muda dari Asia Tenggara, mempamerkan bakat dan kemampuan mereka berhadapan pasukan dari Jepun," katanya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu