EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 7m ago ]

Bersatu harus ambil pengajaran gagal menangi banyak kerusi pada PRU14

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
SHAH ALAM, 12 Jun (Bernama) -- Anggota dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus mengambil pengajaran atas kegagalan parti itu memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana daripada 52 kerusi yang ditandingi calon parti itu pada pilihan raya berkenaan, hanya 13 kerusi berjaya dimenangi.

Satu sebab kita tak dapat jumlah wakil rakyat yang banyak sebab kita parti baharu dan parti baharu tidak dapat berkenalan dengan ramai bilangan pengundi dan rakyat.

"(Namun) Sekarang kita sudah berusia tiga tahun, tapi kalau kita bekerja kuat, kita akan dapat kekalkan kedudukan kita sebagai parti pemerintah di negara ini," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran ketua-ketua bahagian, ketua-ketua srikandi dan ketua-ketua Armada Bersatu di Pusat Konvensyen Setia City di sini, malam ini.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Naib Presiden, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Ansari; Ketua Pemuda Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta kepemimpinan parti.

Justeru itu, kata Dr Mahathir setiap ketua bahagian Bersatu perlu bekerja lebih kuat bagi menambahkan lagi jumlah keanggotaan kerana ia mampu menentukan sokongan pengundi kepada parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.

"Pengikut penting kerana dalam parti politik kita perlukan tenaga. Dalam PRU, kita perlu tenaga yang banyak untuk jalankan kerja parti. Kalau tidak cukup (jumlah anggota), sukar kita capai kemenangan.

"Kalau kita tak berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mempunyai kakitangan (anggota dan jentera) yang ramai untuk berkenalan dengan penduduk di banyak kawasan, kita sukar capai kemenangan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata setiap sumbangan yang disalurkan kepada mana-mana parti politik mesti melalui akaun rasmi parti dan mempunyai resit.

Katanya, ia merupakan peraturan baharu yang perlu dipatuhi kerana diakui, semua parti politik memerlukan dana untuk menjalankan pelbagai program untuk memenangi pilihan raya.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu