Derma darah lambang semangat Merdeka [ 1m ago ]

Dadah 'heret' hidup Mira ke jalan gelap

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
SEREMBAN, 13 Jun (Bernama) -- Seawal usia 14 tahun, gadis berkulit sawo matang ini sudah mengenali dadah sehingga sanggup memecah masuk rumahnya sendiri yang didiami bersama nenek, untuk mencuri barangan berharga semata-mata bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Menceritakan perjalanan kisah hidupnya, dia yang hanya ingin dikenali sebagai Mira berkata semuanya berpunca hanya kerana mahukan kebebasan dan memberontak akibat merasa dirinya dikongkong.

Keinginan mendapatkan kehidupan bersosial dan mewah dengan wang ringgit itu akhirnya membuatkan kehidupannya semakin ‘gelap’, jauh daripada keluarga bahkan mengheretnya menyertai kumpulan kongsi gelap sehingga membuatkannya lupa diri.

Mira yang dijaga dan dibesarkan oleh nenek sejak kecil, terasa mula dikongkong sejak memasuki sekolah menengah sehingga dia bertindak melarikan diri kerana mendambakan kehidupan bebas bersosial bersama kawan-kawan dan menikmati dadah tanpa ada halangan.

“Mula-mula saya kenal dadah menerusi kawan saya. Dia bagi dan saya tidak tahu itu dadah syabu, saya cuba dan layan, lama-lama saya jadi ketagih dan sampai tahap saya lari rumah, pecah masuk rumah sendiri cari barang-barang berharga untuk saya jual dan dapatkan duit untuk beli dadah,” katanya kepada Bernama di sini.

Mira berkata akibat perbuatannya itu, beliau pernah ditahan polis atas kesalahan pecah masuk rumah namun dibebaskan.

“Selepas itu, saya kembali jalani hidup seperti biasa sehingga berumur 16 tahun...sekali lagi saya mula rasa dikongkong dan bertindak lari dari rumah buat kali kedua. Untuk teruskan hidup, saya bekerja di kedai mesin judi, dalam masa sama saya sudah ada teman lelaki.

“Kebetulan pula tempat saya bekerja ditutup dan saya tidak tahu hendak ke mana, jadi saya terus bergantung hidup dengan teman lelaki,” katanya.

Mira berkata beliau semakin ketagih dengan dadah selepas berkongsi dengan teman lelakinya sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan bahan terlarang itu termasuk menyertai kumpulan kongsi gelap yang turut didalangi teman lelakinya.

Pada awalnya semua indah, kehidupan mewah dengan kemudahan untuk mendapatkan dadah terus membuai khayalan, meskipun sering dipukul teman lelakinya itu namun padanya itulah pengorbanan yang perlu diberikan.

“Saya diminta untuk iring anggota kumpulan seludup dadah, edar dadah termasuklah jaga stor dadah. Hari demi hari saya diseksa dengan suasana yang amat menakutkan, melihat orang dipukul hingga memancut darah dan dibunuh depan mata tanpa sebarang belas ihsan...tetapi disebabkan saya khayal kerana di bawah pengaruh dadah, saya tetap ikut sahaja apa mereka suruh.

“Saya nak larikan diri, tetapi saya ‘dipegang’, telefon bimbit semua mereka pegang, saya memang buntu ketika itu antara nak selamatkan diri dengan diselubungi rasa takut yang amat sangat,” katanya.

Tidak lama kemudian, Mira ditahan polis ketika berada di rumah rakannya yang disyaki terlibat mencuri motosikal.

Katanya, penahanan itu merupakan satu jalan keluar baginya dan bertekad untuk menyalurkan segala maklumat mengenai kegiatannya itu.

“Saya maklumkan setiap kegiatan kepada pihak berkuasa dan saya diselamatkan sehingga saya berada di pusat pemulihan dadah hari ini. Saya bersyukur kerana Allah beri saya jalan keluar di saat saya benar-benar perlukan bantuan.

“Tetapi apa yang saya bimbang ketika ini sekiranya keluarga saya menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap ini, saya tidak maafkan diri saya sekiranya terjadi apa-apa yang buruk terhadap keluarga saya disebabkan kesalahan saya sendiri,” katanya.

Terlalu merindui suasana menyambut lebaran bersama keluarga tercinta, Mira berharap lebaran kali ini menjadi sinar buat dirinya untuk kembali menjalani hidup bebas seperti mana remaja lain.

“Ternyata keinginan dan kemahuan saya untuk hidup bebas dan bermewah merupakan sesuatu yang sia-sia, manisnya sekejap tetapi pahit yang perlu ditanggung mungkin sampai ke mati,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu