EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 31m ago ]

Dua lelaki ditahan miliki dadah di Lipis

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan bersama ganja dan heroin yang dianggarkan bernilai RM900 di sebuah pondok dalam kebun getah di Kampung Mela, Kuala Lipis di Lipis, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek yang berusia 52 tahun dan bekerja sendiri itu, ditahan pada 11 pagi, menerusi serbuan Op Sarang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.

"Suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan bersama sebuah beg galas berwarna kelabu yang berisi tiga ketulan mampat daun kering dibungkus plastik disyaki ganja.

"Polis juga menemui satu bekas plastik lutsinar mengandungi dua plastik berisi ketulan putih dipercayai heroin di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azli berkata anggaran berat kasar ganja ialah 235.72 gram manakala heroin dianggarkan seberat 8.26 gram, dan siasatan awal mempercayai suspek memperoleh dadah itu dari sekitar Mela, Lipis.

Suspek juga didapati positif dadah dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Azli berkata seorang mekanik ditahan di sebuah rumah kongsi kilang di Padang Tengku, Kuala Lipis kerana memiliki 10.26 gram syabu, heroin (17.3 gram) dan ganja (6.3 gram).

Beliau berkata suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan pada 1.30 pagi hari ini, dalam Op Tapis, dan dadah tersebut yang semuanya dianggarkan bernilai RM680 dijumpai dalam bekas plastik biru di tempat tidur suspek.

"Polis turut merampas sebuah alat penimbang, satu paket penyedut minuman dan seikat plastik lutsinar yang turut berada dalam bekas itu, dipercayai milik suspek," katanya.

Azli berkata suspek yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu juga positif dadah dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau dipercayai memperoleh bekalan dari Kajang, Selangor.

Beliau berkata siasatan kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu