EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 3m ago ]

Greatech mulakan dagangan sulung di Pasaran ACE pada premium 2.5 sen

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Greatech Technology Bhd, penyedia penyelesaian automasi perindustrian memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities hari ini pada premium 2.5 sen berbanding tawaran awam permulaannya (IPO) pada 61 sen sesaham.

IPO Greatech terdiri daripada 18.78 juta saham dengan 9.39 juta saham diperuntukkan di bawah kategori Bumiputera, mewakili 50 peratus daripada saham yang ditawarkan bagi langganan awam.

Baki 9.39 juta saham diperuntukkan di bawah kategori awam yang terlebih langganan sebanyak 9.41 kali.

Syarikat itu menyasar mengumpulkan RM73.05 juta daripada IPO, di mana, RM18 juta akan digunakan bagi aktiviti pengembangan perniagaan, pembangunan dan pemasaran, RM5 juta bagi perbelanjaan modal serta penyelidikan dan pembangunan dan RM36.55 juta bagi modal kerja.

Baki RM8.5 juta akan digunakan bagi pembayaran semula pinjaman bank dan pembiayaan perbelanjaan IPO.

Greatech merancang mengembangkan operasinya di pasaran Amerika Syarikat, dengan membuka sebuah pejabat, sokongan perkhidmatan dan jualan kejuruteraan di negara itu serta menyasar membuka operasi di China.

Pada 9.50 pagi, saham itu merupakan saham yang paling cergas diniagakan, meningkat 10.5 sen kepada 71.5 sen dengan 83.17 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu