Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 54m ago ]

Pangsapuri jadi pusat hiburan, tiga wanita Thai ditahan

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
BUTTERWORTH,13 Jun (Bernama) -- Polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki yang mengubahsuai dan menjadikan sebuah pangsapuri sebagai pusat hiburan selepas menyerbu rumah di Butterworth itu awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi Ops Aidilfitri/Ops Noda Bersepadu bermula pukul 11.30 malam tadi hingga 3.30 pagi ini, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga orang wanita warga Thailand berusia antara 21 dan 32 tahun.

"Lelaki itu merupakan penganjur pusat hiburan berkenaan dan dipercayai rumah pangsapuri tersebut miliknya manakala wanita warga asing tersebut bekerja sebagai pelayan pelanggan di situ. Siasatan mendapati hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan berhibur di situ," katanya di sini hari ini.

Katanya pemeriksaan juga mendapati tiga wanita berkenaan telah menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka malah tidak mempunyai permit kerja untuk bekerja di negara ini.

"Susulan serbuan itu, polis merampas monitor, pembesar suara, mikrofon tanpa wayar, amplifier dan enam keping resit jualan minuman keras serta sejumlah wang tunai," katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu