EcoWorld shares up on new JV with PowerChina [ 9m ago ]

Pura-pura jual getah sebelum samun

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
SEGAMAT, 13 Jun (Bernama) -- Dua lelaki yang berpura-pura mahu menjual getah bertindak menyamun seorang peraih getah dan membawa lari wang tunai RM2,600 dalam kejadian di sebuah stor getah di Pogoh di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 21 dan 34 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap di Jementah di sini kira-kira 9.35 malam tadi.

"Ketika kejadian 11.27 pagi semalam, kedua-dua suspek datang ke stor itu dengan menaiki motosikal curi dan berpura-pura mahu menjual getah kepada peraih getah berusia 31 tahun itu.

"Suspek merampas parang milik mangsa yang juga pengadu yang diletakkan di atas meja dan mengacukan kepadanya serta merampas dua beg pinggang mengandungi wang tunai RM2,600," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri dengan meninggalkan motosikal curi itu di tempat kejadian.

Menurut Raub, polis kemudian menahan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dinaiki kedua-dua suspek dan merampas sembilan barangan termasuk wang tunai RM833, empat telefon bimbit, dua gunting yang diubah suai, pisau, parang dan pemotong besi.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan pecah rumah.

"Mereka yang mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama dua lagi suspek yang masih bebas kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes ini, manakala usaha mengesan saki baki suspek yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu