TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 9m ago ]

Jual durian kerana cinta kepada 'Raja buah'

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
Khairul Azlan Rosli
Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA,13 Jun (Bernama) -- Cinta mendalam terhadap ‘Raja buah’ mendorong seorang pemuda meneruskan lagasi keluarga untuk mengushakan kedai buah-buhan di Bukit Katil.

Peniaga buah, Khairul Azlan Rosli, 29, berkata di samping menjana pendapatan, perniagaan buah durian memberi keupasan kepada dirinya kerana beliau amat meminati raja buah itu berbanding buah-buahan tempatan lain.

“Setiap kali musim durian saya akan ambil buah durian dalam kuantiti yang banyak, soal sama ada buah durian yang dibeli habis dijual atau tidak itu perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah kepuasan bagi saya dan pelanggan melihat buah durian yang banyak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Azlan berkata beliau tidak perlu risau tentang promosi kerana telah mempunyai pelanggan tetap kerana beliau menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.

“Bagi saya biar untung sikit tetapi puas hati apabila mendapat kepercayaan daripada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata antara jenis durian yang mendapat sambutan hangat pada tahun ini ialah durian jenis I0I, D2 dan D13 kerana durian tersebut mempunyai isi dan warna yang cantik serta rasanya yang lebih sedap.

Khairul Azlan berkata selain mendapat bekalan durian dari Melaka, beliau turut mendapat bekalan durian daripada Tangkak dan Segamat, Johor bagi menampung permintaan di Melaka.

Katanya beliau mewarisi perniagaan buah daripada datuknya, Samad Tahar atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Harun’ oleh masyarakat tempatan yang memulakan perniagan buah di Bukit Katil kira-kira 30 tahun lepas.

Turut berkongsi pendapat, peniaga buah durian di Duyong, Yap Oh Cheng, 42, berkata beliau mula berniaga durian sejak kecil iaitu sejak umur 13 tahun dengan membantu mendiang bapanya Yap Chip Hook menguruskan kedai buah-buahan di Duyong.

“Sejak dari kecil saya amat minati buah durian, saya rasa teruja dapat membantu bapa saya berniaga tiap kali tiba musim durian dan kini saya meneruskan perniagaan keluarga atas dasar minat,” katanya.

Beliau berkata peminat buah durian bertuah pada tahun ini kerana musim durian dijangka lebih panjang daripada sebelumnya iaitu selama tiga atau empat bulan.

“Saya jangka harga durian akan lebih murah pada Julai nanti apabila hasil daripada bunga kedua pokok buah durian akan mengeluarkan hasil,” katanya.

Katanya bagi menjaga keaslian durian Melaka, beliau hanya mengambil durian daripada sekitar Melaka iaitu Tiang Dua dan Bemban.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu