TEKUN Dan AKPK Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Dalam Urusan Kredit [ 9m ago ]

Dua suspek minta maaf kepada keluarga dan waris mangsa letupan bom di Pattani

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
PATTANI, 13 Jun (Bernama) -- Dua suspek yang terlibat dalam insiden letupan bom di Pasar Ramadan Bo Thong, Nong Chik, Pattani pada 27 Mei lepas, meminta maaf kepada keluarga dan waris mangsa yang maut dalam kejadian itu.

Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 25 tahun itu mengaku terlibat dalam insiden letupan yang meragut dua nyawa – remaja 14 tahun dan wanita 35 tahun, serta mencederakan 22 lagi.

Mereka yang dibawa polis hadir pada sidang media semalam, mengakui tidak berniat untuk membunuh atau mencederakan orang awam sebaliknya sasaran kumpulan itu ialah renjer yang sedang bertugas pada hari itu.

Ketua Polis Bahagian Ke-9 Leftenan Jeneral Ronnasin Phusara berkata polis masih menjejaki dua lelaki iaitu Bukhari Lamsoh, dipercayai dalang yang merancang dan mengatur pengeboman dan Abdul Qadir Satapo yang memasang bom di tempat kejadian.

“Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, polis telah menahan lima lelaki, dua daripada mereka telah mengakui terlibat dalam insiden letupan di pasar Bo Thong,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas tiga buah motosikal yang digunakan.

Semalam, polis membawa kedua-dua suspek ke tempat kejadian untuk lakonan semula kejadian itu.

Pada 27 Mei, seorang remaja, 14 tahun, dan seorang wanita, 35 tahun, maut dalam kejadian yang berlaku pada 4.15 petang (waktu tempatan).

Lagi 22 yang lain cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan empat orang renjer yang sedang mengawal keselamatan di pasar itu.

Dalam kejadian itu, sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram dipasang pada sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie-talkie.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu