Salehuddin 'berhati kering' dapat maklumat daripada komunis [ 1h ago ]

Pengerusi Bursa gesa CFO berani suarakan sebarang salah laku

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Ketua Pegawai Kewangan (CFO) perlu berani untuk menyuarakan sebarang salah laku yang berlaku dalam syarikat, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Beliau berkata CFO perlu menjadi pengawal kepada syarikat mereka bagi memastikan ketelusan dan menyemai keyakinan kepada para pelabur terhadap industri dan pasaran modal.

"Tadbir urus adalah asas kepada ketelusan. Jika anda telus dalam proses anda, orang akan merasa yakin dan sebaik sahaja ada memiliki keyakinan, orang akan melabur semula, sama ada ia adalah pelaburan jangka panjang, pelaburan langsung asing (FDI) atau menerusi pasaran ekuiti. Itulah apa yang kita mahu.

"Jika CFO tegas dan menyatakan tidak, atau jika sekiranya mereka melihat sebarang salah laku, mereka perlu menyuarakannya. Tidak boleh ada situasi di mana CFO gentar untuk menyatakan sesuatu...malahan juruaudit sangat takut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama beliau pada Persidangan CFO 2019, di sini, hari ini.

Shireen juga menegaskan penting bagi setiap orang untuk bersatu sebagai satu kumpulan bagi memperkasakan antara satu sama lain untuk menjadi lebih menonjol dan kukuh.

"Apabila kita lebih kukuh, kita boleh sampai ke tahap di mana orang mengetahui CFO tidak akan bertoleransi dengan perkara yang tidak munasabah, tidak akan bertolak ansur persoalan mengenai kontrak dan mereka akan menegur perkara yang nampak tidak betul...dan mereka akan mendapatkan nasihat undang-undang. Ia adalah ciri-ciri penting seseorang CFO,” katanya.

Mengenai usaha membawakan lebih ramai pelabur ke negara ini, pengerusi Bursa itu berkata liputan buruk media ke atas negara perlu dihentikan.

Beliau menggesa syarikat-syarikat itu mula memperkatakan tentang reputasi baik yang dimiliki Malaysia.

"Malaysia adalah negara yang orang perlu melabur. KIta seharusnya tidak dilihat seperti apa yang berlaku kebelakangan ini. Ia perlu ditukar, kita tidak sepatut mendapatnya.

"Kita adalah negara yang memiliki pekerja kemahiran tinggi, banyak sumber dan institusi yang baik,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu