Motorcyclist run over by fellow motorcyclists in tow, car [ 7m ago ]

Francaisi berpeluang terokai industri francais pada MIRF

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia (MIRF) akan menjadi platform bagi francaisi untuk menerokai industri francais, semasa kalangan perniagaan mempamerkan jenama mereka yang sudah terkenal.

Presiden Persatuan Rantaian Peruncit (MRCA) Datuk Seri Garry Chua berkata pameran itu akan membolehkan pempamer, industri dan orang awam untuk libat urus sesama mereka secara efektif.

Beliau berkata MIRF keempat akan menumpukan pada jenama francais dan fokus terhadap hubungan dua hala antara francaisor dan francaisi.

“Francaisi juga dapat melihat manfaat operasi perniagaan sedia ada yang termasuk produk, perkhidmatan dan malah pengiktirafan jenama yang sudah terkenal.

“Francaisor juga akan mendapat manfaat daripada hubungan pertumbuhan bersama, meningkatkan ekuiti jenama, kesetiaan pelanggan dan pengembangan antarabangsa,” katanya pada sidang media mengenai MIRF di sini, hari ini.

Pameran itu yang dijadualkan pada 18-20 Julai, dijangka menjana hasil sebanyak RM90 juta untuk pempamer.

Bertema “Masa Depan Francais”, ia akan mempamerkan lebih 200 pempamer tempatan dan asing daripada pelbagai negara termasuk Taiwan, China, Vietnam dan Singapura. Ia dijangka menarik 18,000 pengunjung tempatan dan asing.

Sementara itu, pengerusi penganjur Raymond Woo berkata MIRF merupakan tempat yang hebat bagi inovasi, rangsangan ekonomi, pertumbuhan, pembangunan dan pendedahan kepada perniagaan yang terlibat dalam industri runcit dan francais.

Beliau berkata terdapat peningkatan 30 peratus bagi jualan ruang pameran dan kadar jualan itu dianggap sebagai luar biasa.

"Kami berharap untuk meneruskan pertumbuhan ini sehingga menjadi pameran peneraju bagi industri runcit di Asia Tenggara,” katanya.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu