Lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai jatuh laut ketika memancing [ 24m ago ]

UOB Malaysia lancar program bantu syarikat Malaysia manfaatkan teknologi

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Malaysia) hari ini melancarkan program transformasi perniagaan, "Jom Transform Programme", untuk membantu perniagaan di Malaysia memanfaatkan teknologi untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan.

Dalam kenyataan hari ini, katanya program itu dikendalikan oleh The FinLab, pemecut inovasi di bawah United Overseas Bank Ltd.

Kali pertama The FinLab melancarkan program transformasi perniagaannya di Singapura pada 2018.

“Sepanjang tempoh tiga bulan Jom Transform Programme, perniagaan yang mengambil bahagian akan menghadiri beberapa siri bengkel yang dikendalikan oleh pakar-pakar industri untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam bidang transformasi digital tertentu seperti mereka bentuk semula proses perniagaan dan pemasaran digital,” katanya.

Mereka juga akan dipadankan dengan rakan teknologi yang dipilih khusus untuk merintis penyelesaian yang relevan dan dibimbing untuk menilai keberkesanan semua penyelesaian ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Wong Kim Choong berkata program itu mengesahkan komitmen bank tersebut untuk membantu perniagaan di Malaysia beralih kepada digital bagi pertumbuhan yang berterusan.

"'Jom Transform Programme The FinLab akan membantu perniagaan mengubah operasi mereka kepada digital, dan seterusnya menyokong agenda nasional mengenai inovasi perniagaan.

“Dengan menggunakan teknologi, perniagaan di Malaysia akan dapat menguruskan operasi mereka dengan lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan memantapkan kemahiran pekerja mereka untuk memastikan perniagaan mereka kekal relevan dalam ekonomi digital.

“Bagi membantu syarikat ini terus berkembang, kami juga akan membantu mereka melebarkan sayap dalam negara mahupun di rantau ini melalui rangkaian UOB yang kukuh dan bersepadu," katanya.

The FinLab mengendalikan program pecutan yang menumpukan kepada memacu pertumbuhan teknologi kewangan (FinTech) yang inovatif dan syarikat teknologi serta memangkin transformasi digital perniagaan.

Sejak penubuhannya pada 2015, The FinLab telah mengendalikan dua kitaran program pecutan untuk syarikat-syarikat FinTech terpilih daripada lebih 700 permohonan dari 44 negara.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu