EKONOMI

SERBA DINAMIK SASAR PEROLEHAN SEHINGGA RM200 JUTA DARIPADA PERKHIDMATAN BERKAITAN IT

13/06/2019 06:44 PM

SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd menyasar untuk merekodkan perolehan antara RM150 juta dan RM200 juta daripada perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah berkata IT akan menjadi bahagian penting untuk melonjakkan perolehan syarikat perkhidmatan tenaga itu pada masa depan, malah beberapa program telah dirancang bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

“Kami menyediakan keseluruhan rangkaian dan infrastruktur untuk meletakkan keupayaan IT kami di peringkat global selain mewujudkan makmal inovasi di India Institute of Technology di Chennai di samping dapat menarik kumpulan profesional daripada industri ini dan pihak berkaitan lain di India,” katanya semasa sidang media mengenai ‘Beyond Paradigm Summit 2019’ di sini, hari ini.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, syarikat telah mencatatkan jualan keseluruhan bernilai RM25 juta menerusi perkhidmatan IT.

“Walaupun perniagaan teras Serba Dinamik adalah pengoperasian dan penyenggaraan serta EPCC (kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian), kami yakin syarikat memerlukan keupayaan IT untuk memperkukuh daya saing,” katanya.

Mohd Karim berkata pihaknya juga telah menubuhkan anak syarikat di Silicon Valley, Amerika Syarikat, di bawah anak syarikat milik penuhnya Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT).

Pada Disember 2018, SDITmembeli 30 peratus kepentingan penyedia penyelesaian IT, eNoah iSolution India Pvt Ltd pada RM15 juta sebagai sebahagian langkah peluasan syarikat ke dalam sektor teknologi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia selepas itu, Serba Dinamik berkata pembelian berkenaan akan membolehkan syarikat memperluas kedudukannya, memandangkan eNoah mempunyai operasi di negara seperti India, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura.

Mohd Karim berkata Serba Dinamik telah memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan projek berkaitan IT sedia ada dan akan datang bagi tahun kewangan 2019. Setakat ini, kira-kira RM13 juta telah dibelanjakan.

Bahagian perkhidmatan berkaitan IT Serba Dinamik akan menyasarkan pelanggan institusi dan awam menerusi tawaran seperti sistem pembayaran tanpa tunai yang berkait dengan teknologi tempat letak kenderaan.

“Kami akan memperkenal aplikasi yang amat berguna untuk setiap individu di dunia. Kami memanfaatkan kedudukan rangkaian geografi kami yang dibangunkan di negara yang mempunyai operasi kami di Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Karim berkata Serba Dinamik akan menganjurkan ‘Beyond Paradigm Summit 2019’ di sini pada 17 dan 18 Julai serta di Kuching, Sarawak pada 20 dan 21 Julai.

Sidang kemuncak itu akan mempamerkan teknologi canggih merangkumi idea teras pendigitalan dan pertukaran data berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Acara itu juga akan menampilkan robot manusia sosial, Sophia, yang dicipta oleh Hanson Robotics of Hong Kong.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan