Tiga maut terperangkap kebakaran [ 3m ago ]

Bank jangka pertumbuhan pinjaman perlahan - RAM Ratings

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Keputusan kewangan suku tahun bank-bank tempatan baru-baru ini menunjukkan pendapatan lemah, terjejas oleh pertumbuhan pinjaman yang lemah dan diburukkan lagi oleh margin faedah bersih (NIM) lebih kecil, kata RAM Ratings Services Bhd.

Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM Wong Yin Ching berkata pertikaian perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah mendorong perniagaan dan pengguna untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati, dengan tiada penyelesaian dijangkakan dalam tempoh terdekat.

“Berdasarkan senario ini, RAM Ratings jangka risiko kerugian pada lima peratus terhadap unjuran pertumbuhan pinjaman bagi 2019. Sektor NIM juga bakal terus mengecil berikutan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada Mei 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita baiknya adalah bank-bank mendepani persekitaran operasi yang sukar dengan bersandarkan kedudukan yang kukuh, kata Wong.

“Kualiti aset mereka kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman rosot nilai kasar (GIL) hanya 1.51 peratus pada akhir April 2019.

“Purata nisbah kos kredit lapan bank utama kekal rendah pada 25 bps bagi suku pertama tahun ini (Q1 2019), malah selepas mengecualikan pemulihan one-off atau sekali sahaja daripada jualan untuk membayar hutang oleh sebuah institusi tertentu.

“Kami jangka nisbah sektor GIL tidak akan melepasi 1.60 peratus tahun ini,” katanya.

Wong berkata pertumbuhan tahun ke tahun sistem perbankan Malaysia adalah kurang memberangsangkan pada 4.5 peratus pada April 2019, menjadikan ia mencatatkan aliran menurun untuk tempoh lima bulan berturut-turut sejak November 2018.

“Permohonan pinjaman merosot 4.7 peratus pada asas pergerakan purata tiga bulan, walaupun kelulusan pinjaman naik 1.6 peratus.

“Permintaan terhadap kredit daripada isirumah dan peniagaan berkurangan, dengan pertumbuhan pinjaman perniagaan dilihat lebih perlahan,” katanya.

Lapan bank utama berkenaan melaporkan purata pulangan sebelum cukai bagi aset adalah lemah pada 1.35 peratus dan pulangan ekuiti pada 13.2 peratus pada Q1 2019.

“Semuanya kecuali satu mencatatkan NIM lebih kecil, mencerminkan persaingan sengit bagi deposit runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pertumbuhan lemah akaun semasa dan akaun simpanan.

“Pertumbuhan pendapatan, walaupun lemah, akan terus memberikan sokongan kepada tahap modal bank berkenaan yang sudahpun kukuh,” kata Wong.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu