25 U-15 players selected for CFA tournament in Haikou City [ 1h ago ]

Johor yakin misi dagangan ke China akan buahkan hasil

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
Jimmy Puah Wee Tse (kanan)
JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa tiga misi dagangan ke China pada Mac, April dan Mei lepas bagi menarik pelaburan syarikat pembuatan yang terjejas akibat perang dagangan Amerika Syarikat-China, akan mula membuahkan hasil pada akhir tahun ini.

Malah setakat hari ini, terdapat 10 syarikat telah terbabit dalam perbincangan dan disusuli dengan banyak pertanyaan mengenai pelaburan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

"Pihak yang terbabit ini adalah syarikat yang mahu keluar daripada kesan tarif akibat perang dagangan AS-China. Kita telah terima banyak pertanyaan namun perkara ini (pelaburan) bukanlah seperti hendak membeli kereta...tanya hari ini dan beli esok.

"Ini sebaliknya akan mengambil masa dan saya yakin pada masa akan datang, mungkin hujung tahun ini, kita akan nampak hasil semua (misi dagangan) itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tiga misi dagangan Johor ke China itu termasuk kunjungan ke wilayah Guangzhou, Huizhou dan Shenzen pada 27 Mei hingga 2 Jun lepas.

Mengulas selanjutnya, Puah berkata pada misi itu, kerajaan negeri menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Johor Bahru dan persatuan-persatuan perniagaan China bagi mengukuhkan jalinan kerjasama.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu