Piala Dunia bawah 20 tahun: pemain Korea Selatan terima sambutan wira [ 9m ago ]

TM lantik Noor Kamarul sebagai MD/GCEO/ED baharu berkuat kuasa 13 Jun

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) telah melantik Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai pengarah urusan/ ketua pegawai eksekutif kumpulan/ pengarah eksekutif yang baharu berkuat kuasa 13 Jun, 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi TM Rosli Man berkata kumpulan itu yakin dengan pengalaman, kepakaran dan berpengetahuan yang dimilikinya dalam industri, Noor Kamarul berkeupayaan untuk membawa TM ke hadapan dan meneroka bidang-bidang pertumbuhan baharu.

“Kami akan meneruskan perjalanan transformasi kami dan melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik yang telah dirangka bagi membantu TM menghadapai cabaran semasa dan meletakkan kami lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan,” katanya.

Noor Kamarul, 60, mempunyai 34 tahun pengalaman dalam pengurusan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi di Malaysia dan Indonesia, dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan-perkhidmatan rangkaian tetap, rangkaian mudah alih dan jalur lebar mudah alih.

Beliau merupakan sebahagian daripada barisan pengurusan kanan Celcom Axiata Bhd (Celcom) yang mengendalikan pemulihan Celcom dalam memacu pertumbuhan berterusan selama 31 suku berturut-turut dari 2003 hingga Mac 2018.

Beliau menyertai Celcom (Malaysia) Bhd pada 2003 sebagai ketua pegawai teknologi, jawatan yang disandangnya selama tujuh tahun, sebelum menggalas tanggungjawab dalam barisan kanan Celcom Axiata Bhd, termasuk sebagai ketua pegawai teknologi maklumat dan transformasi, ketua pegawai pengalaman pengguna dan ketua pegawai projek khas, yang dipegang dari Januari 2015 hingga Mac tahun lepas.

Saham TM ditutup tinggi tujuh sen hari ini pada RM3.81.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu