Malaysia akan terus tarik pelabur asing walaupun selepas perang perdagangan AS-China [ 12m ago ]

BSN perjelas baki minimum, caj kad debit

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menjelaskan kekeliruan berhubung caj RM10 dan RM12 ke atas setiap penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) Fasa 2 baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, BSN berkata RM10 merupakan baki minimum yang perlu ada di dalam akaun simpanan untuk akaun kekal aktif, jumlah terendah dalam kalangan bank-bank, manakala RM12 hanya akan dicaj sekiranya pelanggan memerlukan Kad Debit BSN.

“Kad tersebut akan memudahkan pelanggan melakukan transaksi pengeluaran pada masa akan datang. Pilihan untuk Kad Debit BSN terletak sepenuhnya di tangan setiap pelanggan,” katanya.

BSN juga sedia maklum bahawa terdapat kesesakan yang amat ketara di cawangan-cawangannya ketika penerima BSH hadir untuk membuat pengeluaran berikutan musim perayaan dan cuti umum bersempena sambutan Aidilfitri.

Bagi menangani jangkaan tersebut, BSN berkata ia telah memudahkan proses terlibat termasuk membuka kaunter dan menempatkan kakitangan tambahan bagi memudahkan semua pihak yang membuat urusan sepanjang pembayaran BSH.

“Kami memohon maaf sekiranya terdapat keadaan yang amat sesak di cawangan kami dan akan terus berusaha untuk memudahkan urusan setiap pelanggan termasuk memastikan segala urusan pelanggan diselesaikan pada hari yang sama,” katanya.

Para penerima BSH boleh mengunjungi cawangan BSN berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1300-88-1900 untuk keterangan lanjut.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu