Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6 [ 7h ago ]

Lafarge akan terus disenaraikan susulan YTL hanya mendapat 77 peratus saham

Tarikh kemaskini: 13/06/2019
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pengeluar simen Lafarge Malaysia Bhd (LMB) akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia berikutan YTL Cement Bhd hanya berupaya mengumpul 76.98 peratus saham yang diterbitkan LMB pada tarikh tawaran pengambilalihan mandatorinya ditutup.

YTL Cement, anak syarikat YTL Corporation Bhd yang pernah disenaraikan, menerima setuju terima sah bagi 220.72 juta saham, mewakili 25.98 peratus modal saham terbitan LMB, pada 5 petang hari ini.

Bersama-sama dengan 51 peratus saham dalam pegangannya semasa dokumen tawaran itu diberikan, ini meningkatkan jumlah pegangan saham YTL Cement dalam LMB kepada 76.98 peratus atau 654.07 juta saham, kata YTL Corporation dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

YTL Cement dipertanggungjawabkan membuat tawaran pengambilalihan bagi baki saham dalam LMB selepas membeli 51 peratus kepentingan dalam LMB daripada Associated International Cement Ltd (AICL) bagi RM1.63 bilion bulan lepas.

Dalam notis pengambilalihan itu, YTL Cement menyatakan hasratnya untuk mengekalkan status penyenaraian LMB di Pasaran Utama, Bursa Malaysia kecuali ia menerima setuju terima sah daripada langkah itu dan syarikat sekutunya memegang 90 peratus atau lebih saham LMB.

Tawaran bagi baki saham dalam LMB dibuat pada harga RM3.75 sesaham, harga sama yang telah dibayar oleh YTL Cement kepada AICL.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu